
KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPTM) diminta menyatakan program yang diberikan kepada rakyat yang menjalankan aktiviti nelayan kecil-kecilan.
Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) berkata, usaha tersebut membolehkan golongan itu memperolehi pulangan melepasi Purata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) ditetapkan.
Beliau berkata, individu berpendapatan bulanan kurang daripada PGK yang ditetapkan kerajaan antara RM2,500 ke bawah dikategorikan sebagai golongan miskin tegar termasuk nelayan.
“Minta KPTM menyatakan bentuk kemudahan dan program yang ditawarkan oleh kerajaan kepada nelayan kecil bagi meningkatkan pendapatan ,” katanya dalam persidangan Dewan Rakyat. di sini, hari ini.
Dalam pada itu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya merangka beberapa langkah bagi mencapai hasrat tersebut termasuk meningkatkan pendapatan.
Beliau berkata, RM5.13 juta disalurkan kepada Pejabat Perikanan Negeri bagi pembangunan keusahawanan perikanan melalui Program myKomuniti Perikatan dan myAgropreneur Perikanan (myAP).
Kerajaan juga menyediakan Geran Agropreneur Muda (GAM) berbentuk barangan nilai maksimum RM20,000 kepada individu yang lain bagi meminimakan kos kewangan dalam perniagaan.
Selain itu pihaknya juga menyediakan kemudahan seperti Pasar Nelayan yang dibina bagi menyediakan peluang kepada golongan nelayan untuk memasarkan hasil tankapan secara terus kepada pengguna. – HARAKAHDAILY 1/7/2024




















