‘Rakyat perlu terus bangkit demi selamatkan negara’

Mohd Zamri Mohd Zainuldin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Rakyat perlu terus bangkit untuk menyelamatkan negara ini  daripada sebarang kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan pada masa ini.”

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin berkata, rakyat pada ketika ini dibebani dengan pelbagai masalah ekonomi seperti  kos sara hidup yang tinggi, kenaikan harga barang dan bil elektrik yang melampau.

- Advertisement -

“Rakyat juga telah dinafikan hak pengeluaran bersasar wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka dan pelbagai bantuan lain,” katannya  yang turut hadir dalam Demo Rakyat Lawan Anwar Round 1 di sekitar kawasan Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, pada Sabtu (29 Jun) lepas.

Tambah beliau, sudah banyak ‘kerosakan’ yang telah dilakukan dalam negara ini lebih-lebih lagi apabila kerajaan sudah mula melakukan penarikan subsidi minyak diesel diikuti dengan kenaikan harga diesel secara mendadak.

“Bermula dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup seawal Januari 2023 sehinggalah ke isu penarikan subsidi diesel dan kenaikan harga diesel telah membuat kehidupan rakyat semakin tersepit.

“Ini menunjukkan kerajaan seolah-olah tidak bersungguh-sungguh membawa suara rakyat yang memilih mereka dalam menyelesaikan masalah-masalah sebegini.

“Malah kerajaan seolah-olah bukan sahaja memilih untuk tidak mendengar suara rakyat tetapi juga menekan mereka lagi untuk tidak bersuara dan menyatakan kemarahan rakyat itu sendiri,” jelasnya.

Terdahulu, Demonstrasi Rakyat Lawan Anwar Round 1 telah diadakan bagi melaungkan suara rakyat yang terbeban dengan keadaan ekonomi pada masa ini.

Menurut seorang artis popular era 80-an, Dayangku Intan dalam laporan Harakahdaily sebelum ini, perhimpunan tersebut tidak mempunyai sebarang niat untuk menjatuhkan pemimpin kerajaan pada masa ini kerana lebih bersifat membela rakyat semata-mata.

Tambah beliau, perkara tersebut dibuktikan dengan himpunan itu tidak mengambil sebarang dana daripada mana-mana parti politik.

Demonstrasi Rakyat Lawan Anwar Round 1 bermula pada jam 4.30 petang hingga 7 malam yang dihadiri seramai 150 peserta yang hadir sebagai tanda sokongan dalam perhimpunan tersebut.

Turut hadir ialah seorang pempengaruh media sosial Aidil Yunus (YB Viral), Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid, dan seorang lagi pempengaruh media sosial Nurpais Ismail (Papa Berry).

Sehubungan itu, beliau menyatakan perkara sebegini tidak lagi boleh dibiarkan kerana rakyat sendiri perlu menegur kerajaan supaya membela nasib mereka yang sudah pun terbeban dengan keadaan ekonomi semasa.

Kata beliau lagi, ini bertujuan supaya kerajaan membetulkan semula dasar-dasar yang telah membebankan kehidupan rakyat itu sendiri.

“Jadi, saya harap kerajaan perlu melihat semula keadaan rakyat secara menyeluruh kerana perhimpunan tersebut jelas menunjukkan bahawa kehidupan mereka sendiri sudah pun terbeban dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2024

- Advertisement -