PRK Sungai Bakap: PH-BN seperti cacing kepanasan

Ahmad Fadhli ketika berucap dalam Ceramah Kebangkitan Anak Muda Sungai Bakap, Pulau Pinang pada malam tadi, 30 Jun 2024.
- Advertisement -

SUNGAI BAKAP: “Mereka yang cacamarba malah seperti cacing kepanasan kerana semua isu yang dibangkitkan oleh PERIKATAN NASIONAL (PN) sepanjang fasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap ini, sama ada isu tempatan mahupun nasional yang jelas menampakkan kegagalan Kerajaan Pakatan harapan (PH).” 

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata demikian susulan dakwaan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PRK), Rafizi Ramli baru-baru ini bahawa PN cuba mengelak berbicara soal prestasi tetapi tanpa sedari mereka yang cuba mengelak dan menggiatkan usaha kempen dengan menyerang peribadi.

Rafizi sebelum ini mendakwa bahawa kempen PN bagi PRK Sungai Bakap dilakukan secara cacamarba dan tiada mesej yang jelas mengikut isu yang tidak relevan kepada pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi juga mencabar agar pihak PN membentangkan prestasi penyandang yang lepas sepanjang sembilan bulan menjadi wakil rakyat.

Membalas segala dakawan tidak berasas Rafizi itu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menegaskan bahawa, sepanjang tiga penggal (15 tahun) wakil PKR menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sungai Bakap, isu air di Mukim 5 tidak pernah diselesaikan dan langsung tidak diberi perhatian. 

“Semua ADUN diam tidak ‘berkutik’ (bergerak sedikit-dikit). Namun, dalam tempoh  tiga bulan allahyarham Nor Zamri Latiff (Abang Zam) menjadi YB di Sungai Bakap, isu ini terus dibawa ke sidang DUN dan dijadikan topik utama yang dibahaskan sehingga kini.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Kebangkitan Anak Muda di Sungai Bakap, Pulau Pinang pada malam tadi, 30 Jun 2024.

Sementara itu, tambah Ahmad Fadhli, dalam isu pemilikan rumah di Taman Halaman Indah yang telah menganiayai seramai 155 penduduk, Abang Zam turun ke lapangan bersama mereka dan turut membawa usul ini ke DUN demi sebuah penyelesaian.

“(Selepas itu) Barulah penduduk dapat menarik nafas lega. Sedangkan isu ini sudah bermula sejak tahun 2010, tetapi di manakah YB PKR yang menjadi ADUN pada ketika itu?” soal beliau.

Oleh itu, ujar Ahmad Fadhli, penduduk Sungai Bakap jelas sekali akan mengekalkan legasi Abang Zamri dengan memenangkan calon PN kali ini, Abidin Ismail (Abang Abidin).

“Rafizi perlu menerima kenyataan bahawa selama sembilan bulan PN di Sungai Bakap lebih baik pentadbirannya daripada tiga penggal ADUN PKR sebelum ini.

“Rafizi juga diharap sahut cabaran saya untuk membentangkan pula rekod semenjak menjadi Menteri Ekonomi,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2024

- Advertisement -