
KUALA LUMPUR: Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengambil peluang untuk bersuara tentang isu masyarakat Orang Asli yang berkaitan dengan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Beliau berkata, merujuk kepada laporan Suhakam 2021 pada muka surat 168 (5.1) iaitu tentang bagaimana harapan Orang Asli pada masa hadapan kerana hak tanah orang asli kekal sebagai salah satu isu utama yang sukar diselesaikan di negara ini.
“Suhakam akan sentiasa mengekalkan pendekatan dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan pengiktirafan yang lebih baik dalam isu ini.
“Jadi, saya berharap semoga komuniti ini akan menikmati hak seperti mengekalkan dan mengamalkan budaya menduduki tanah turun-temurun mereka dengan penentuan kendiri corak pembangunan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suhakam bagi 2021 dan 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang berkata, beliau turut meneliti laporan Suhakam 2022 pada muka surat 165 yang terdapat beberapa aduan dan pemantauan terhadap pelanggaran hak asasi manusia dalam Perkara 12 hak orang asli.
“Suhakam telah menerima tiga aduan hak Orang Asli berkaitan isu tanah di Perak dan Pahang serta pencerobohan di kawasan Wilayah tanah orang asli bagi aktiviti pembalakan tanpa mengadakan proses izin maklum awal bebas dan telus (IMABT).
“Saya kira kita tidak menafikan bahawa pembangunan itu penting tetapi pembangunan itu harus dilihat dengan sebaik mungkin terutamanya apabila melibatkan tanah ataupun kawasan Orang Asli,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan Suhakam dan kerajaan supaya mengadakan satu ‘task force’ yang boleh memberikan peluang yang terbaik apabila berlaku pembangunan ataupun pertimbangan berkaitan dengan tapak kawasan Orang Asli berkenaan.
“Oleh demikian perkara ini harus dipertimbangkan dengan sebaik mungkin supaya mereka ini tidak akan terus menjadi mangsa disebabkan oleh pembangunan yang berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2024




















