Kemelut sara hidup bantu PN pertahan Sungai Bakap

Dr Zulkeflee Yaacob
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kemelut kos sara hidup yang membelenggu rakyat sekarang dianggap membantu petugas pilihan raya Perikatan Nasional (PN) dan PAS di Sungai Bakap menarik sokongan pengundi di Sungai Bakap 6 Julai ini.

- Advertisement -

Pakar Psikososio Dr Zulkeflee Yaacob berkata, kenaikan harga diesel pada 10 Jun lepas melampau garis pendapatan golongan daif.

Katanya, kesan kenaikan harga diesel menyebabkan harga barang keperluan harian dan bahan-bahan binaan meningkat dengan ketara.

“Isu tersebut lebih dekat di hati rakyat biarpun Pakatan Harapan (PH) menampilkan seorang calon yang berpendidikan tinggi.

“Calon terbabit tidak mampu berbuat apa-apa kerana mewakili kerajaan yang tidak prihatin terhadap kehidupan rakyat,” katanya di sini.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap akan diadakan pada 6 Julai ini yang menyaksikan calon PN diwakili Abidin Ismail, manakala Dr Joohari Ariffin mewakili PH.

PRK tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Ustaz Nor Zamri Latiff pada akhir April lalu akibat keradangan di bahagian perut.

Dr Zulkeflee yang juga pemerhati politik tempatan berkata, banyak isu yang dianggap menyebelahi pembangkang kerana kegagalan kerajaan Madani menyelami denyut nadi rakyat.

Menurutnya sebelum berlaku kenaikan mendadak harga diesel kerajaan Madani menaikkan cukai cukai jualan dan perkhidmatan (SST) 8 peratus berbanding 6 peratus sebelum 1 Mac lepas.

“Ditambah pula isu penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada syarikat pro Zionis Israel melukakan hati umat Islam termasuk di Sungai Bakap.

“Rakyat juga bersimpati kepada pembangkang kerana ahli parlimen dinafikan peruntukan sehingga sekarang sehingga Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq mengatur ‘Langkah Muar’ dengan berjalan kaki ke Parlimen dari Muar sejauh 200 km,” ujarnya.

Oleh itu, beliau yakin isu-isu tersebut mampu memaut hati pengundi di Sungai Bakap bagi mengekalkan penguasaan PN pada Sabtu ini. – HARAKAHDAILY 1/7/2024

- Advertisement -