
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya menamatkan larian ‘Langkah Muar’ yang berakhir di Bangunan Parlimen pagi tadi.
Ketibaan beliau disambut oleh ramai Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang menunggu di pintu masuk Bangunan Parlimen, termasuk Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim, (Putrajaya); Dato’ Dr Radzi Jidin, (Putrajaya); Dato’ Khlir Mohd Nor (Ketereh) dan ramai lagi.
Terdahulu, program larian tersebut dilaporkan mempunyai dua objektif utama iaitu bagi menuntut hak Ahli-ahli Parlimen Pembangkang yang dinafikan peruntukan Parlimen dan bagi mengutip dana bantuan rakyat bagi kawasan Parlimen Syed Saddiq, di Muar.
Bercakap epada wartawan dalam sidang media ringkas di lokasi ketibaannya, Syed Saddiq mengumumkan bahawa kutipan yang diterima untuk larian tersebut sudah pun melebihi sasaran asal.
“Saya nak berikan sedikit maklum balas berkenaan perkembangan terkini. Tadi baru saya check, alhamdulillah, kutipan bagi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar telah pun mencecah RM160,000 (melebihi), berbanding sasaran awal kita RM100,000 yang kita letakkan.
“Sejujurnya memang saya terhutang budi kepada semua. Semalam bila saya semak lebih 2,000 orang rakyat Malaysia menyumbang,” katanya.
Tambah beliau, sumbangan yang diterima bukan sekadar melalui dalam talian, namun ia juga diserahkan secara bersemuka sewaktu beliau sedang melakukan larian tersebut.
“Sambil berlari ramai berhenti berikan RM20, RM50, ada (seorang) adik beri RM1. Luar biasa sekali, ia sangat luar biasa. Ini kerana bila saya berjumpa mereka, saya sangat yakin mereka tak pernah berjumpa dengan saya secara fizikal sebelum ini.
“Tak pernah pun jejak kaki di Muar atau ada kenalan atau keluarga di Muar. Tetapi tetap ada aspirasi yang sama dan itulah sebab saya rasa ni bukan setakat Muar tetapi Malaysia secara keseluruhan,” ujarnya lagi.
Menurutnya lagi, isu penafian hak peruntukan Ahli Parlimen itu adalah isu semua rakyat di kesemua kawasan Parlimen pembangkang seluruh Malaysia yang dinafikan hak mereka sedangkan mereka membayar cukai, namun dihukum akibat perbezaan politik.
Larian tersebut bermula di Muar pada Jumaat pagi minggu lepas melalui jalan-jalan sepanjang Bandar Melaka, Alor Gajah, Rembau, Seremban, Semenyih, Bandar Tun Hussein Onn dan Bangunan Parlimen.
Laluan terakhir beliau pada pagi ini bermula dari bangunan KLCC dengan lokasi berkumpul di pintu masuk stesen LRT untuk menuju ke Bangunan Parlimen yang turut disertai Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. – HARAKAHDAILY 1/7/2024




















