Jumlah miskin tegar, mana yang betul: PMX, ICU JPM atau…?

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menyatakan jumlah sebenar golongan miskin tegar di Malaysia berikutan perbezaan data antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), dan juga data di Kementerian Ekonomi.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, beliau keliru dengan beberapa angka dan fakta yang telah diberikan oleh Timbalan Menteri kerana jika dilihat kepada kenyataan Anwar sendiri pada tahun lepas menyatakan bahawa beberapa negeri sudah mencapai sifar miskin tegar. 

- Advertisement -

“(Dan juga) Beberapa negeri telah mengisytiharkan di negeri masing-masing bahawa sudah tidak ada lagi miskin tegar, terbaru di Pahang juga menyatakan sudah tidak ada lagi miskin tegar.

“Tetapi saya merujuk kepada laporan yang disiarkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) pada 15 Jun 2024 iaitu baru dalam dua minggu lepas bahawa miskin tegar di Malaysia pada hari ini masih lagi ramai.

“Dan (bagi) ketua isi rumah miskin tegar hari ini ialah 40,861. Bahkan kalau kita lihat dalam data ini di Pulau Pinang miskin tegar 2,470, Kelantan 1,613. ini salah satu contoh. 

“Oleh  itu soalannya ialah kenapa data ini berbeza di JPM ini berbeza dengan data yang dikemukakan oleh Kementerian Ekonomi? Adakah data ni tak betul atau di Kementerian Ekonomi tak betul atau dua-dua tak betul,” soal beliau.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Ekonomi pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Selain itu, Fadhli berkata, Kementerian Ekonomi digesa menyatakan respons terhadap dapatan utama Ranjau Sepanjang Jalan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Mei lepas.

“(Dapatan tersebut) yang menyatakan bahawa 95 peratus kanak-kanak daripada isi rumah B40 di Kuala Lumpur dilaporkan hidup masih dalam kemiskinan dan insiden kemiskinan ini dikatakan lebih teruk berbanding dengan pada musim Covid-19 yang lepas,” hujah beliau.

Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib dalam jawapannya memberitahu bahawa beliau hanya mempunyai maklumat daripada ICU JPM dan akan merujuk kepada pihak Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSEM) berkenaan dari segi perbezaan antaranya.

Beliau berkata, ia mungkin berbeza dari segi fakta mengikut kaitan yang terlibat sekali untuk memberikan pengukuran.

“(Jawapan untuk soalan kedua iaitu) untuk dari segi hal hidup dalam kemiskinan untuk kanak-kanak. Insya-Allah, kita akan maklumkan kemudian untuk mengesahkan apakah keadaan yang sebenarnya dan bagaimana kita cuba untuk menyelesaikan,” kata beliau.

Terdahulu, Fadhli dalam soalan asalnya meminta Menteri Ekonomi menyatakan negeri-negeri seterusnya yang disasarkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk mencapai sifar miskin tegar serta pelan tindakannya.  – HARAKAHDAILY 1/7/2024

- Advertisement -