
RABB maksudnya Tuhan yang mencipta, memberi keperluan, nyawa dan makanan, serta menjaga hujan dan kemarau. Maka, sembahlah Dia, jangan sembah berhala kerana berhala juga adalah makhluk-Nya yang tidak boleh berbuat apa-apa.
Walaupun Allah telah mengutus Nabi dan Rasul, tetapi manusia masih berpecah-belah. Agama Samawi atau langit merujuk kepada Islam, Yahudi dan Kristian. Agama budaya pula adalah hasil daripada pemikiran manusia yang merujuk kepada Sikh, Hindu, Zoroaster dan Buddha.
Ideologi-ideologi moden boleh dikategorikan sebagai agama budaya seperti sekularism, nasionalism dan lain-lain. Kalau kita berpegang dengan sekularism atau materialism misalnya, boleh bercanggah dengan akidah kita. Ulama yang tegas dan ketat, akan mengatakan bahawa kita telah kufur.
Orang Islam tidak boleh berpegang dengan fahaman kebangsaan, sekular atau liberal kerana semua ini daripada pemikiran manusia. Ini adalah agama atau kepercayaan dan pegangan hidup manusia. Ia bercanggah dengan akidah tauhid.
Kasih kepada bangsa dibenarkan. Sebab itu merupakan sifat semulajadi manusia. Begitu juga kasih kepada tanah air merupakan tuntutan agama. Allah telah takdirkan kita lahir di Tanah Melayu, jadi kita perlu sayang kepada bumi ini. Kita perlu sayang bumi ini lebih daripada orang lain yang datang menumpang ke tempat kita. Allah telah takdirkan bumi masing-masing. Bukan Allah nak suruh kita berbalah, tetapi nak suruh kita jaga.
Ibarat rumah kita, kita jagalah baik-baik. Orang lain nak masuk rumah kita, berbuat sesuka hati, mana boleh. Kita sebagai tuan rumah, kita perlu jaga rumah kita. Bukan isu perkauman, cuma ada hak dan batasnya. Ini yang kebanyakan kita tidak faham. Ada yang berlebihan sehingga melanggar agama. Ada yang terlampau baik sehingga kita dan ahli keluarga kita pergi duduk di wakaf bawah pokok dan rumah sendiri pula dibiarkan kepada orang lain.
Yang tidak boleh adalah fahaman kebangsaan atau nasionalism. Jangan disebabkan kasih kita itu sehingga kita melanggar agama. Contohnya, kita meletakkan bangsa sebagai nombor satu, agama kita langgar. Ini yang tidak dibenarkan. Letaklah agama di depan, bangsa di nombor dua atau tiga.
Kita dilarang untuk membela bangsa kita yang jahat dan menyalahgunakan kuasa. Ini yang dipanggil sebagai taksub. Nabi kata, assobiyah adalah menolong bangsa sendiri atas dasar kezaliman. Maknanya, kalau bercanggah dengan al-Quran sekalipun, ditolong juga kerana sebangsa, inilah yang tidak betul.
Manusia berpecah-belah dengan bermacam-macam agama, tetapi pada suatu masa nanti, semuanya akan kembali bertemu dengan Allah belaka. Sama ada kafir atau tidak, betul atau tidak, esok-esok semuanya akan kembali berjumpa dengan-Nya. Dari situlah akan tahu siapa yang betul dan siapa yang salah. Berjawablah di hadapan-Nya. – HARAKAHDAILY 1/7/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















