Angkara BlackRock: ‘Top 2 Gun’ Umno kian berantakan

Razali Idris
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pendirian Umno dalam isu penjualan pegangan saham dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB)  kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki syarikat pro-Israel, BlackRock menampakkan kekeliruan yang jelas dalam kalangan akar umbi parti berkenaan.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, kenyataan yang bercanggah antara Timbalan Presiden Umno, dan Presidennya memperlihatkan ketidakjelasan pendirian parti itu.

- Advertisement -

“Tidak sampai 24 jam kenyataan Timbalan Presiden Umno berani bersuara membantah BlackRock, ia terus pula disanggah Presiden Umno bahawa parti itu senada dengan PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim). Apa sudah terjadi?

“Sekarang ini rakyat apatah lagi akar umbi parti Umno semakin keliru. Pendirian Umno ini jelas atau tidak ?,” soalnya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.

Sebaliknya, kata beliau, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) telah menunjukkan pendirian yang lebih tegas dan jelas. 

Terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan kerajaan,  GIP dilaporkan akan memegang sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kedua-dua entiti itu di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Razali, kerajaan sewajibnya menolak terus pemberian sebahagian saham MAHB kepada pihak terbabit. 

“Sangat pelik syarikat yang mencipta keuntungan, tiba-tiba dipelawa untuk memiliki saham. Kalau di pasaran terbuka di Bursa Saham, semua memahami dan mengetahuinya. 

“Soalnya kepentingan MAHB adalah sangat strategik, pintu utama negara serta berprofil tinggi dari aspek keselamatan. Apakah tiada cara terbaik untuk membuat keuntungan lain?,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2024

- Advertisement -