KDN perlu tindakan segera selesai penduduk haram

Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa menerangkan sebarang perancangan dan tindakan segera terhadap penduduk haram atau mereka yang tidak memiliki dokumen untuk keselamatan negara.

- Advertisement -

Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berkata, masalah itu tidak dapat dinafikan telah berlaku sekian lama sehingga telah bertukar beberapa Perdana Menteri, namun tidak berjaya diselesaikan dengan baik.

“Kerana kadangkala kalau kita buat satu check yang tidak ada dokumen ini dia berniaga pun dia duduk di lorong-lorong, ada yang baiki telefon, ada yang macam-macam, mereka ini bukan warganegara,” ujar beliau ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Saifudin, dalam jawapannya memberitahu, terdapat dua perkara yang sedang dilaksanakan iaitu pertamanya diadakan jadual serbuan berkala dan keduanya ialah diadakan program penghantaran pulang supaya mereka menyerah diri.

“Akan periksa ada dokumen atau tidak. Kita akan tengok kalau dia ada dokumen dia terlebih tinggal atau tidak atau kalau dia ada dokumen iaitu dia ada pas kerja, pas lawatan kerja.

“Dia salah guna atau tidak pas itu. Jadi tiga kategori ini kita akan semak sebab itu berkaitan dengan Akta Imigresen,” jelas beliau.

Menurutnya, KDN menghantar balik ke negara asal warga asing yang melakukan kesalahan serta ditangkap dengan kerjasama kedutaan, serta tindakan penahanan kepada majikan juga dibuat.

“Mereka takkan masuk kalau majikan tak gajikan mereka. Majikan gajikan ikut undang-undang tak ada masalah. Tapi bawa masuk, curi-curi tanpa dokumen 456 majikan juga kita tahan,” jelas beliau.

Berkenaan program penghantaran pulang tersebut, terdapat empat negara di mana rakyatnya paling ramai yang menyerah diri iaitu Indonesia, Bangladesh, India dan Pakistan.

“Itu dua ikhtiar kita. Kita minta dia serah diri kita minta dia bayar kompaun, kita hantar. Satu lagi

kita buat serbuan, kita semak tak ada dokumen, kita letak di depoh imigresen, kedutaan dia, siapkan travel dokumen dan kita hantar balik. Dan usaha ini mesti usaha yang berterusan. Tak boleh bermusim,” ujarnya.

Nik Zawawi dalam soalan asalnya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah jaminan pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa (PLV) tidak menggugat keselamatan rakyat dan negara sedangkan peningkatan pekerja asing tanpa dokumen telah mencecah 6 juta orang pada tahun 2022 (Kajian KRI oleh Nixon) termasuklah mereka yang menyalahgunakan kemudahan tersebut untuk tinggal lebih lama di Malaysia. – HARAKAHDAILY 26/6/2024

- Advertisement -