BlackRock: Cabaran Nik Nazmi sekadar omong kosong

- Advertisement -

SEORANG Menteri Kerajaan Perpaduan mencabar kerajaan Kedah dan Kelantan tutup kilang-kilang milik Blackrock di dua negeri itu.

Nik Nazmi Nik Ahmad ketika berceramah untuk kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap berkata isu Blackrock sengaja dipolitikkan pada musim pilihan raya sedangkan firma pengurusan aset dan modal dari Amerika Syarikat itu sudahpun lama berada dalam pasaran saham negara ini.

Menurut Nik Nazmi, firma itu juga menguasai banyak kilang di Kelantan dan di Kedah — dua daripada empat negeri diterajui Perikatan Nasional (PN).

- Advertisement -

“Tutup dulu kilang Blackrock di dua negeri itu, lepas itu baru kita bincang,” katanya memberi reaksi terhadap bantahan Ahli-Ahli Parlimen PN berhubung cadangan kerajaan membenarkan sayap pelaburan Blackrock, Global Infrastructure Partners (GIP) yang akan bersama dengan Abu Dhabi Inverstment Authority (ADIA) mengambil alih 30 peratus ekuiti Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Sebagai anggota kerajaan apa lagi yang bertaraf menteri, Nik Nazmi sudah tentu memahami bahawa sebarang urusan termasuk keputusan dan tindakan dalam pentadbiran adalah berlandaskan tatacara, tatakelola dan undang-undang yang termaktub dalam satu sistem pentadbiran yang konkrit.

Justeru, tindakan menutup kilang yang sudah diluluskan untuk beroperasi tidak boleh dilakukan begitu sahaja.

Cabaran itu tidak lebih sekadar omong kosong untuk jadi bahan kempen PRK Sungai Bakap semata-mata. Sebagai menteri, tidak sepatutnya dia mengeluarkan kenyataan yang sedemikian dalam keadaan dirinya sudah sedia memahami bahawa apa yang disebutnya itu amat tidak relevan.

Tambahan pula, isu sebenar di sebalik bantahan oleh pembangkang tidak ada kaitan dengan pemilikan ekuiti firma-firma tempatan yang diperolehi oleh Blackrock melalui pasaran terbuka.

Apa yang dipersoalkan ialah bagaimana kerajaan boleh bersetuju dengan cadangan untuk menjual pegangan yang begitu besar dalam MAHB yang memiliki 39 lapangan terbang di seluruh negara termasuk lapangan terbang utama, KLIA kepada pihak asing.

Lapangan terbang bagi mana-mana negara termasuk dalam senarai aset strategik. Lapangan terbang juga adalah lokasi yang sangat sensitif. Ia adalah pintu masuk dan keluar bagi sesebuah negara melalui perjalanan udara. Ia juga adalah pintu kedaulatan dan keselamatan sesebuah pemerintahan.

Memberi milikan kepada pihak luar yang jika tidak sampai 30 peratus sekalipun, boleh dikira suatu langkah yang sumbang, apatah lagi dengan ekuiti sebanyak itu yang akan memberikan mereka kuasa mengawal.

Ia tetap sumbang, pelik, janggal lagi membahayakan jika pihak yang bakal mengambil alih pegangan 30 peratus itu bukan Blackrock sekalipun.

Keputusan ini seumpama memberi hak untuk menjaga pintu rumah kita kepada seseorang yang dicurigai.

Blackrock diketahui di seluruh dunia sebagai kapitalis pengurusan aset dan modal paling berkuasa di atas muka bumi yang mendukung perjuangan Zionis Israel.

Sebagai sebuah negara Islam yang juga terkenal sejak sekian lama aktif dalam membela nasib saudara seagama di Palestin, langkah kerajaan untuk bersetuju menjual pegangan dalam aset strategik itu sudah tentu dilihat begitu kontradik.

Tambahan pula dalam situasi hari ini di mana warga Palestin sedang diganyang lunyai dan sedang meraih simpati seluruh dunia. Menjual pegangan yang strategik kepada Blackrock adalah sama seperti memberi nyawa, kuasa dan kekuatan untuk mereka salurkan kepada rejim Zionis.

Sebenarnya ada banyak perkara meragukan.

MAHB antara beberapa syarikat berkaitan kerajaan yang keuntungannya amat membanggakan. Bagi tahun kewangan 2023, MAHB mencatatkan keuntungan bersih RM543.17 juta.

Selain 39 lapangan terbang Malaysia, syarikat itu juga memiliki Istanbul Sabiha Gokcen International Airport (ISG) di Turkiye dan 40 peratus pegangan dalam GMR Hyderabad International Airport di India.

MAHB diiktiraf sebagai antara operator lapangan terbang terbesar di dunia. Dengan kedudukan yang begitu kukuh, amat meragukan apabila saham syarikat itu mahu dijual dengan jumlah yang begitu besar.

Lebih meragukan apabila urusan pengambilalihan itu dilakukan secara runding terus. Malah menurut Menteri Luar yang juga Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohamad Hassan, keputusan untuk menyetujui penjualan ekuiti itu dibuat oleh kerajaan tanpa melalui mesyuarat Jemaah Menteri — kenyataan yang kemudian disifatkan oleh Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai pendapat peribadi Mohamad.

Pemimpin UMNO telah berbeza pendirian dalam isu penjualan saham MAHB. Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda, Dr. Akmal Salleh di satu pihak — membantah pengambilalihan itu — manakala Ahmad Zahid sebaliknya bersetuju dengan pendirian pucuk pimpinan kerajaan untuk membawa masuk Blackrock ke dalam penguasaan lapangan terbang negara.

Dengan begitu banyak persoalan, keraguan pembangkang adalah munasabah. Kerajaan perlu menjawab dengan segera sebelum perkara itu dimuktamadkan.

Sebaik-baik tempat untuk menjawab dan memberikan penjelasan ialah di Dewan Rakyat di mana persidangan sedang berlangsung. Malangnya, usul Ahli Parlimen Machang, Wan Fayshal Wan Ahmad Kamal berkaitan perkara itu telah ditolak oleh Speaker, Tan Sri Johari Abdul. – HARAKAHDAILY 25/6/2024

MUHAMAD MAT YAKIM
(Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah)

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -