Masjid lama Pulau Redang bakal dinaik taraf 

Masjid lama di Jeti Utama Pulau Redang yang terbiar ini akan dinaik taraf untuk kegunaan penduduk dan pelancoong.
- Advertisement -

KUALA NERUS: Pulau Redang bakal menyaksikan satu lagi usaha peningkatan infrastruktur dengan cadangan menaik taraf tapak masjid lama yang terbiar di Jeti Utama, menjadi sebuah surau serta hentian rehat yang selesa untuk kegunaan penduduk setempat dan pelancong.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, tapak masjid yang tidak digunakan itu telah lama dibiarkan tanpa sebarang pemuliharaan. 

- Advertisement -

“Tapak lama itu sepatutnya dikekalkan sebagai surau atau tempat sembahyang sahaja, tetapi oleh kerana peraturan, kita tutup dan suruh robohkan yang asalnya.

“Namun, pihak yang berkenaan tidak merobohkan, jadi tapak itu terpaksa dibiarkan begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media lawatan rasmi bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris ke pulau berkenaan.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Dato’ M Rozi Bidin; Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Rosli Latif;  Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ahmad Azizi Zulkifli; dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Redang, Maaruf Ismail.

Harun dalam pada itu juga memaklumkan bahawa perancangan sedang dibuat dengan pihak-pihak berkepentingan untuk merangka peruntukan yang diperlukan bagi projek tersebut. 

“Fasa pertama kita akan selesaikan bilik air, tempat duduk terlebih dahulu kemudian baru pembinaan surau,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan bahawa surau itu tidak akan digunakan sebagai tempat tidur, bagi mereka yang ingin bermalam harus mencari penginapan seperti chalet, hotel atau rumah sewa.

Menurut beliau, projek pemuliharaan itu bertujuan untuk memenuhi keperluan ibadat penduduk setempat dan pelancong, serta mempromosikan Pulau Redang sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim. 

“Perancangan awal melibatkan pembinaan ruang sembahyang yang boleh menampung 20 hingga 30 orang, dengan konsep surau terbuka yang boleh diakses pada bila-bila masa.

“Dengan kerjasama Datuk Bandar dan pihak-pihak berkepentingan lain, MAIDAM berharap projek ini dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Sekali gus, ia menjadikan Pulau Redang contoh terbaik bagi negeri-negeri lain dalam menyediakan kemudahan ibadat yang lengkap dan selesa di destinasi pelancongan,” katanya.

Sehubungan itu Maaruf Ismail pula berkata, pihaknya menyambut baik usaha ini dan melahirkan rasa syukur atas kesudian pihak kerajaan negeri untuk menaik taraf tapak masjid yang telah lama terbiar. 

“Perkara ini dapat melegakan hati penduduk kampung dan saya sendiri. Semoga projek ini dapat dilaksanakan dengan secepat yang mungkin,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2024

- Advertisement -