
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak sewajarnya membenarkan artis yang menunjukkan sokongan kepada Israel secara terbuka mengadakan konsert di Malaysia.
Ketua Pengarah Ameerah, Dewan Muslimat PAS Malaysia (Ameerah Malaysia),Mardhiyyah Johari berkata, membuka ruang kepada pro-Zionis Israel tidak kira dari sektor perniagaan mahupun hiburan menandakan negara tidak sensitif dan penyumbang kepada kezaliman.
Apatah lagi ketika Kerajaan didesak untuk menghentikan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat yang ada kaitan dengan konglemerat pro-Israel, BlackRock yang diketahui kaitannya dengan genosid Israel di Semenanjung Gaza.
Terdahulu, kerajaan pada bulan lepas mengumumkan bahawa syarikat Amerika Syarikat, Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki BlackRock dilaporkan akan memegang sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB, bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); yang mana kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Madhiyyah, pembunuhan rakyat Palestin sudah berlanjutan terlalu lama, dan jika dihitung merujuk kepada konflik perang Hamas-Israel bermula sejak 7 Oktober 2203, serangan Israel sudah menghampiri tempoh sembilan bulan.
“Tekanan antarabangsa bahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak diendahkan zionis Israel,” tegasnya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor berkata, semua manusia yang ada hati nurani mesti melakukan apa sahaja cara untuk menghentikan pembunuhan di Palestin.
“Tidak masuk akal kita biarkan rakyat kita berseronok dengan hiburan daripada penghibur yang mencintai pembunuh anak-anak kecil, wanita dan rakyat tidak berdosa,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa konsert penyanyi terkenal Hollywood, Bruno Mars bakal berlangsung di Stadium Bukit Jalil pada 17 September 2024.
Mars sebelum ini pernah menyuarakan rasa cintanya kepada Israel ketika mengadakan konsert di negara haram tersebut pada tahun lalu. – HARAKAHDAILY 24/6/2024




















