Lebih 10,000 nelayan tersinggung kenyataan Menteri Ekonomi

Razali Idris
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Lebih 10,000 nelayan tersinggung dengan kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mendakwa seludup diesel angkara perbuatan mereka.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, kenyataan itu telah menyinggung perasaan golongan nelayan dengan keceluparan Menteri Ekonomi yang sudah kehabisan formula untuk menutup kepincangan kerajaan Madani.   

“Tiba-tiba nelayan dipersalahkan kerana isu ketirisan subsidi diesel di laut.

- Advertisement -

“Tiba-tiba nelayan dijadikan bahan politik Menteri Ekonomi yang menceritakan angkara penyeludupan diesel di laut adalah sebab mengapa kerajaan menyasarkan subsidi diesel,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Razali berkata, isu penyeludupan dan ketirisan telah berterusan sekian lama, namun kerajaan Madani dinasihatkan agar tidak menunding jari kepada nelayan seolah-olah mereka penyebab utama.

“Lama-kelamaan kerajaan Madani ini semakin kurang ajar dengan rakyat, malah dicemuh golongan nelayan ini,” katanya.

Menurut beliau, Menteri Ekonomi agaknya seorang yang nyanyuk di usia muda, lupa bahawa golongan nelayan adalah penyumbang besar kepada sumber pendapatan negara.

“Nelayan ini bertungkus lumus menggadaikan nyawa mereka di tengah lautan mencari rezeki bukan setakat untuk diri dan keluarga mereka, tetapi untuk orang lain dan membantu ekonomi negara.

“Atas dasar itu, Menteri Ekonomi dituntut meminta maaf kepada seluruh nelayan di negara ini.

“Walaupun segelintir pihak tertentu melakukan onar ketirisan negara ini, tetapi jangan ditunding jari kepada nelayan seolah-olah merekalah puncanya.

“Ekonomi negara ketika ini masih tidak menentu dan rakyat tidak merasai pemulihan ekonomi sejak di ambil alih PMX, malahan ia semakin teruk,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2024

- Advertisement -