
KUALA LUMPUR: Muslimat PAS diseru agar menjuarai isu-isu wanita dengan berlandaskan hujah yang bernas dan disiplin ilmu yang berterusan agar visi untuk membangunkan Muslimat negarawan tercapai.
Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) sehubungan itu amat memandang serius terhadap keberkesanan media dan penerangan dalam usaha menyebarkan maklumat yang sahih dan terperinci kepada rakyat berkenaan aspirasi PAS dan Perikatan Nasional.
“Isu kemakmukran dan keharmonian umat sejagat adalah mesej yang sewajarnya diketengahkan oleh muslimat di saluran media baharu untuk mencambahkan pemahaman dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) kali yang ke-41 bertemakan ‘Membangun Muslimat Negarawan berlangsung di Setapak, di sini, pada Ahad (23 Jun).

Muktamar DMPWP ke-41 itu telah dihadiri lebih 100 peserta dari 13 kawasan secara keseluruhan termasuk perwakilan dan pemerhati.
Majlis tersebut turut dihadiri Skuad Prihatin Malaysia, guru PASTI dan SRITI, serta pemerhati daripada Dewan Muslimat PAS Malaysia dan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim dalam ucapannya berkata, golongan Muslimat perlu mempersiapkan diri dengan mendalami pelbagai ilmu dan kemahiran berkaitan pentadbiran negara.
“Tempoh 41 tahun merupakan usia yang matang untuk DMPWP memainkan peranan yang lebih signifikan dalam arena kepimpinan nasional,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2024




















