
“Saya memohon maaf kerana ini adalah tugas dan tanggungjawab saya sebagai ahli ekonomi demi kebaikan kita semua dan negara.”
Pakar ekonomi, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata demikian sambil menegaskan, penjelasan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai kejatuhan daya saing negara adalah tidak begitu tepat.
Beliau meminta agar Zafrul bertanggungjawab bagi memperbetulkan semula kenyataan yang baru sahaja dimuat naik melalui platform di Instagram.
“Penjelasan ini tidak begitu tepat. Pengukuran daya saing bukan menilai prestasi ekonomi tahunan.
“Ini ‘peluang’ kepada Malaysia mengambil keputusan untuk bertindak. Kita perbetulkan apa yang salah dan memperkukuhkan apa yang lemah.
“Kita tidak boleh mengawal kadar faedah di Amerika Syarikat (AS), perang Ukraine dan Rusia, dan permintaan global. Fokus kepada ‘what we can do’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, dalam hantaran kenyataan yang berasingan, beliau berkata penurunan daya saing negara bukan perkara yang baharu kerana ia telah membentuk tren dalam jangka masa panjang.
“Kedudukan daya saing Malaysia umumnya menurun dari tahun ke tahun sejak bertahun yang lalu,” katanya.
Beliau yang juga Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA- UKM) berkata, isu ini juga bukanlah masa untuk mencari salah siapa dan bukan juga kerana faktor jangka pendek.
“Ia juga bukan kerana suasana ekonomi pada tahun lalu, bukan kerana kenaikan kadar faedah AS, bukan kerana ketegangan geopolitik Ukraine dan Rusia atau AS dan China, serta bukan kerana permintaan global produk berteknologi tinggi yang rendah.
“Trend menurun terbentuk kerana keseluruhan negara tidak bertindak dengan penuh komitmen untuk menghasilkan perubahan. Kita tahu kelemahan kita. Tidak boleh meletakkan semua atas bahu Perdana Menteri dan kerajaan hari ini,” katanya.
Semalam, Tengku Zafrul berkata, semua pihak tidak perlu ‘panik’ apabila melihat kedudukan Malaysia lebih rendah berbanding tahun lalu melalui Daya Saing Global (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2024.
Zafrul berkata, WCR hanyalah salah satu pengukur daya saing di peringkat global.
Oleh demikian, Noor Azlan berkata, semua pihak harus bertanggungjawab dan kerajaan pula seharusnya tidak perlu menolak kesimpulan terhadap laporan indeks daya saing yang ‘merisaukan’ ini.
“Betul, saya setuju (istilah) ‘jangan panik’, bukan segalanya ditentukan oleh laporan daya saing IMD ini, malah laporan daya saing dan daya inovasi lain yang disebut Tengku Zafrul juga hakikatnya telah menyimpulkan status tren menurun yang sama.
“Jangan ‘panik’, namun kita mesti ‘risau’. Maka, ini ‘peluang’ untuk kita, kerajaan, industri dan rakyat bertindak bersama untuk memperbetulkan apa yang salah atau mengukuhkan apa yang lemah.
“Ini termasuklah bebanan subsidi bahan api yang tidak mampan dan menggugat kedudukan fiskal negara. Jangan tolak kelemahan dan kesilapan kita. Lagi lama kita asyik menolak, lagi buruk mungkin jadinya,” katanya.
Beliau berkata, daya saing bukan bayangan prestasi ekonomi tahunan seperti eksport dan nilai matawang kerana ia bukan laporan prestasi ekonomi tahunan.
“Salah kalau mengaitkan daya saing dengan suasana ekonomi tahunan. Sebahagian besar faktor yang dinilai adalah merujuk kepada elemen struktur termasuk percukaian, produktiviti dan kecekapan, peraturan perniagaan, pasaran buruh, sikap dan nilai, institusi, infrastruktur, pendidikan, dan beberapa lagi,” tambahnya.
Beliau berkata, Ekonomi Madani mensasarkan daya saing Malaysia meningkat hingga tangga ke-12 bersamaan dengan pencapaian pada 10 tahun lalu pada 2014.
“Dari 20 sub-petunjuk, hanya tiga yang bertahan. Selebihnya telah jatuh jauh ke bawah. Faktor-faktor yang dinilai membayangkan ‘kualiti’ persekitaran ekonomi dan perniagaan Malaysia.
“Jadi, sejauh mana Malaysia mampu menjadi sebuah destinasi pelaburan yang baik, yang mampu untuk merangsang kejayaan dalam pelaburan,” katanya.
Justeru, beliau menyimpulkan bahawa perlunya ada berasa ‘kerisauan’ dalam diri terhadap isu ini kerana tren jangka panjang menurun sangat jelas.
“Bacaan status daya saing tidak seharusnya dibuat secara jangka pendek, tahun ke tahun kerana ia lebih kepada ‘stock’ bukan ‘flow’.
“Tindakan mengukuhkan daya saing memerlukan keputusan yang kukuh dan komitmen yang bersungguh. Besar kemungkinan ia akan mengambil masa.
“Perkara ini bukannya seperti ‘pening kepala biasa’ yang boleh diubati dengan dua biji panadol, kerana ia berkaitan dengan struktur dan sistemik yang memerlukan keputusan dan tindakan yang berkesan.
“Mesti risau, jangan panik.. boleh diperbaiki. Ayuh Malaysia, kita ‘risau’ bersama. Kita hilangkan kerisauan ini bersama!” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/202




















