
KUALA LUMPUR: Orang ramai dijemput untuk hadir ke program Rapat Umum dan Forum Tolak BlackRock yang akan diadakan pada malam ini bermula jam 8 malam, di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Kampung Attap, di sini.
Program anjuran Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) dan Pembela Tanah Air (PETA) itu akan menghimpunkan barisan penceramah terkemuka antaranya Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari; jurucakap SSP, Tian Chua; Sekretariat PETA, Chegubard; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah dan mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Turut dijadualkan hadir adalah Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali; mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Cikgu Azmi; Pengerusi BDS Malaysia, Dr. Nazari dan aktivis sosial, Hishamuddin Rais.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan SSP, Hajarul Aswad dan BlackRock jika diterjemahkan kepada Bahasa Melayu memberi maksud yang sama iaitu Batu Hitam. Namun, satunya dikunjungi dan satu lagi dilempari.
“Batu Hitam (BlackRock) yang satu ini ada kaitan dengan Palestin, Amerika dan Israel. Kenapa perlu dilempari? Apa kaitan dengan kita rakyat Malaysia?
“Mari bersama-sama untuk faham dan hadam persoalan tentang BlackRock yang bakal mendatangi Malaysia. Ayuh kita #SelamatkanHartaNegara,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/5/2024




















