KM disaran adakan tinjauan bebas untuk kepastian

Isu Zon Bebas Kenderaan di Bandar Hilir

- Advertisement -

AYER KEROH: Hanya dengan membuat satu tinjauan oleh badan bebas dapat merungkai isu bantahan orang ramai terhadap penutupan jalan disebabkan polisi ‘Zon Bebas Kenderaan’ di Banda Hilir.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, tanpa maklumat yang tepat isu ini akan terus menjadi polemik dan tuduh-menuduh di pihak kerajaan dan pembangkang.

Sedangkan jelasnya, dalam masa yang sama para peniaga dan penduduk di kawasan itu masih lagi berdepan dengan masalah akibat polisi tersebut.

Bakri mengulas kenyataan Ketua Menteri (KM) Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mendakwa beliau tidak dapat mengesahkan polisi tersebut telah mengakibatkan kerugian kepada peniaga.

Rauf dalam wawancara itu turut mendakwa bahawa bantahan yang berlaku itu tidak dapat dipastikan sama ada ia dalam bentuk aliran tunai ataupun ia hanya dipolemikkan oleh parti-parti politik pembangkang.

“Kalau kita lihat daripada apa yang Datuk Rauf cakap, beliau sendiri pun tak pasti sama ada polisi ‘car free zone’ tu menjejaskan peniaga atau tidak, atau mungkin sekadar polemik politik.

“Tapi apa yang kita buat sebelum ni kita berjumpa langsung dengan peniaga-peniaga dengan kerjasama beberapa NGO. Sebab tu NGO itu dapat tandatangan bantahan lebih kurang seribu lebih tandatangan,” kata Bakri.

Kerana itulah katanya, beliau sudahpun menyarankan sebelum ini agar kerajaan melantik sebuah badan bebas untuk menjalankan kajian secara ilmiah untuk mencari jawapan sebenar kepada isu itu.

“Biar badan tersebut betul-betul bebas. Jangan ada campur tangan kerajaan dan politik. Seperti yang saya selalu ulang, kalau kita dapat data yang betul, kita akan buat keputusan yang betul,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Tegas beliau, hanya dengan cara melakukan kajian oleh badan bebas yang bertemu sendiri dengan para peniaga dapat menghasilkan fakta tepat.

“Sebagai pembangkang, kami bukan membangkang secara membuta-tuli. Kita bertindak kerana ada aduan dan keluhan rakyat

“Kalau kita tidak menerima aduan atau keluhan rakyat, kalau memang polisi itu memberikan keuntungan kepada peniaga-peniaga tempatan, sudah tentu kita pun sokong,” kata beliau.

Tambahnya, walaupun berperanan sebagai pembangkang, Perikatan Nasional mahu menjadi pembangkang yang konstruktif untuk menjalankan fungsi semak dan imbang.

Katanya lagi, pihak beliau menyokong apa sahaja pembangunan yang dilakukan kerajaan selagi mana ia memberikan manfaat kepada rakyat Melaka sendiri.

Kata Bakri, kemungkinan para peniaga sebelum ini sudah mengadakan dialog melalui persatuan-persatuan, namun tiada kemajuan yang positif menyebabkan mereka datang kepada NGO dan pembangkang.

“Lagi pun permintaan mereka tidak keterlaluan. Bukan mereka minta supaya jalan tu dibuka semula seperti asal.

“Apa yang peniaga ini mahu kalau boleh jalan tersebut dibuka pada waktu siang hari daripada pukul 9:00 pagi hingga 6:00 petang pada hujung minggu. Pada sebelah malam tak ada masalah untuk tutup,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2024

- Advertisement -