
POKOK SENA: Tuanku Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin berkenan menyampaikan daging korban sempena Aidiladha kepada 100 penerima kalangan asnaf Daerah Pokok Sena.
Sebanyak enam ekor lembu dikorbankan pada majlis tahunan di mana kerja-kerja menyembelih, melapah, mengagih dan memasak telah berlangsung di Masjid Al-Kauthar, Bukit Payung, di sini kelmarin.
Keberangkatan tiba Tuanku Raja Muda ke lokasi program disambut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Ustaz Mohd Azam Abd Samat.
Turut bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Norizan Khazali dan Mufti Negeri, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang serta Setiausaha Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Dato’ Dr. Abd Ghani@Zulkifli Zainuddin.
Tengku Sarafuddin dalam titahnya menyeru agar syarikat-syarikat korporat mahupun individu berkemampuan tampil membantu golongan asnaf di negeri ini dengan menyumbang terus sama ada ke pejabat agama atau pejabat zakat.
“Bantuan dan sumbangan seperti ini kita akan buat setiap tahun menjelang Aidiladha untuk membantu golongan yang memerlukan,” titah baginda.
Sementara pada majlis tersebut, penerima daging korban turut menerima wang tunai sebanyak RM400 yang disumbangkan oleh pihak Baitulmal Negeri Kedah.
Program korban Masjid Al-Kauthar telah diadakan sejak 11 tahun lalu dengan kerjasama Baitulmal Negeri Kedah untuk membantu golongan kurang berkemampuan dari kalangan anak kariah khususnya.
Hadir sama Pegawai Daerah Pokok Sena, Mohamad Rizal Mohamad Radzi dan Imam Masjid Al Kauthar, Dr Mat Rani Manaf. – HARAKAHDAILY 20/6/2024












