Stadium Old Trafford bocor, bilik persalinan Arsenal banjir

Kawasan tempat duduk penyokong Manchester United yang dibasahi hujan. (FOTO: Daily Mail)
- Advertisement -

MANCHESTER: Stadium Old Trafford dilaporkan bocor dan membasahi kawasan tempat duduk penyokong Manchester United sewaktu perlawanan menentang Arsenal.

Hujan lebat yang melanda stadium berusia 114 tahun itu, waktu tempatan, turut mengakibatkan bilik persalinan pasukan pelawat telah dilanda banjir, dengan video yang tular di media sosial memaparkan air hujan telah membasahi bilik persalinan pasukan Arsenal akibat daripada bumbung yang bocor. 

- Advertisement -

Insiden pada Ahad (12 Mei), waktu tempatan, berkenaan berlaku ketika pemegang pas bermusim Arsenal dan pemimpin Parti Buruh, Keir Starmer hadir sebagai tetamu kepada Datuk Bandar Manchester, Andy Burnham yang sebelum ini pernah mengadakan pertemuan dengan pemilik bersama Manchester United, Jim Ratcliffe bagi membincangkan pembangunan semula stadium berkenaan, lapor DailyMail.

Terdahulu, United dikatakan bersetuju dengan perancangan Ratcliffe untuk membina stadium baru kelab itu dengan gelaran ‘Wembley of the North’, dengan kos £2 bilion namun terbuka untuk sekadar menaik taraf Old Trafford jika pembinaan yang baharu tidak dapat dilaksanakan. 

Dalam perlawanan semalam, United meneruskan momentum kekalahan selepas tewas 1-0 kepada Arsenal menerusi jaringan Leandro Trossard pada minit ke-20, menjadikan ia kekalahan ke-14 United dalam liga musim ini. -Agensi– HARAKAHDAILY 13/5/2024

- Advertisement -