
KUALA LUMPUR: “Keputusan Menteri Pendidikan mengekalkan tarikh pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 pada 27 Mei 2024 adalah amat mengecewakan dan merupakan pengabaian terhadap kebajikan guru.”
Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, permohonan dengan asas yang kukuh telah disuarakan oleh pelbagai pihak terutama pihak pentadbir dan guru di Sabah serta Sarawak.
“Namun malangnya, ia langsung tidak diberi perhatian oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedangkan implikasinya amat besar,” katanya.
Menurut beliau, KPM pada hakikatnya sedar bahawa tarikh tersebut jatuh pada hari Isnin minggu pertama cuti persekolahan dan ada beberapa sekolah berada di lokasi yang jauh ke pedalaman.
“Justeru, jawapan YB Menteri yang mengatakan ketetapan tarikh tersebut tidak mengganggu perancangan cuti dan perjalanan yang dibuat oleh guru tidak lain hanya menampakkan betapa jauhnya pihak kementerian daripada realiti kehidupan guru-guru.
“Bukankah lebih baik jika tarikh 23 Mei 2024 atau 3 Jun 2024 dipilih oleh KPM? Mengapa hendak menyusahkan warga pendidik dengan mengganggu tempoh cuti mereka?

“Cukuplah beban yang dipikulkan kepada pihak sekolah, jangan ditambah dengan urusan yang sebenarnya boleh diurus dengan mudah,” katanya.
Terdahulu, ketika mengulas rayuan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang meminta KPM mengeluarkan keputusan SPM Tahun 2023 lebih awal iaitu pada 23 Mei 2024 berkata, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mengekalkan tarikh pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 pada 27 Mei 2024.
Beliau menegaskan bahawa pemilihan tarikh itu tidak akan menjejaskan perancangan cuti guru, sebaliknya ia adalah bagi memastikan pelajar lepasan SPM mempunyai masa mencukupi membuat persiapan permohonan kemasukan ke institut pengajian tinggi (IPT).
“Tempoh masa ini panjang dan mencukupi bagi (pihak pengurusan sekolah) merancang dan menyelaras mekanisme pengurusan serta pentadbiran tugas berkaitan pengeluaran keputusan peperiksaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/5/2024




















