Kesesuaian tapak projek takungan air dikenal pasti

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) meninjau tapak pembinaan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS).

- Advertisement -

Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Saizol Ismail berkata, cadangan projek di Labok, Machang itu masih di peringkat kajian.

Katanya tinjauan itu bagi melihat kesesuaian tapak dan kajian tanah sebelum projek yang bernilai RM630 juta tersebut dilaksanakan.

“Petang semalam saya bersama Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir meninjau tapak cadangan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS).

“Lokasi baru masih di peringkat kajian bagi melihat kesesuaian tapak dan kajian tanah sebelum pelaksanaan projek dapat diteruskan,” katanya pada hantaran di Facebooknya hari ini.

Hadir sama wakil Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan Jabatan Sumber Air Kelantan.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan mengumumkan kelulusan pembinaan TAPS menerusi Rolling Plan Tiga dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada persidangan Dewan Rakyat Mac tahun lalu.

Ia dijangka bermula pada suku keempat tahun 2024 dan tempoh pembinaan selama tiga tahun dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027.

Projek yang berkapasiti 500 juta liter sehari itu mampu menyediakan air mentah yang mencukupi untuk diproses bagi menyediakan air bersih bagi pengguna di Kelantan utara.

Sehubungan itu Saizol yang juga ADUN Salor merakam ucapan terima kasih terhadap komitmen kerajaan Pusat melaksanakan projek terbabit. – HARAKAHDAILY 13/5/2024

- Advertisement -