Gunung Ibu meletus terbangkan abu 5km ke langit

Gunung Ibu yang mengeluarkan abu setinggi lima kilometer dirakam dari Desa Gam Ici, Kabupaten Halmahera Barat, Maluku Utara, Indonesia pada hari ini, 13 Mei 2024. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

JAKARTA: Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bencana Geologi (PVMBG) merekodkan aktiviti letusan, menerbangkan abu setinggi lima kilometer dari puncak Gunung Ibu yang terletak di barat laut Pulau Halmahera, Maluku Utara.

Ketua PVMBG,  Hendra Gunawan dalam laporan yang diterima di Jakarta berkata, pada hari ini Isnin (13 Mei) berkata, letusan itu berlaku pagi ini pada 09.12 WIT.

“Bunyi dentuman kedengaran sehingga ke pos pemerhatian Gunung Ibu,” katanya.

- Advertisement -

Menurutnya, abu yang berterbangan membentuk seakan tiang, setinggi lima kilometer itu kelihatan berwarna kelabu hingga hitam dengan keamatan tebal condong ke arah barat.

Letusan itu direkodkan melalui seismogram dengan amplitud maksimum 28 milimeter dan tempoh sementara selama 5 minit 6 saat. Ketika laporan dibuat, letusan masih berterusan, lapor Antara.

PVMBG menerbitkan warna VONA (Volcano Observatory Notice for Aviation) yang digunakan sebagai kod warna yang digunakan untuk memberi amaran awal tentang letusan gunung berapi untuk keselamatan penerbangan. Kod warna VONA terdiri daripada merah, oren, kuning dan hijau.

“Warna VONA Gunung Ibu daripada oren hingga merah,” kata Hendra.

Sejak 8 Mei 2024, Gunung Ibu yang mempunyai ketinggian 1,325 meter dari aras laut berada dalam status berjaga-jaga atau tahap III.

PVMBG telah meningkatkan status gunung berapi jenis strato disebabkan oleh peningkatan aktiviti gunung berapi dan seismik.

Sehubungan itu, PVMBG menyarankan penduduk di sekitar Gunung Ibu supaya tidak mendaki dan menghampiri gunung dalam radius tiga kilometer dan sambungan sektoral 5 kilometer ke arah pembukaan kawah di bahagian utara kawah aktif.

“Sekiranya abu jatuh, orang ramai yang melakukan aktiviti di luar rumah dinasihatkan menggunakan pelindung hidung, mulut (topeng) dan mata (goggle).

“Semua pihak harus menjaga suasana yang kondusif dalam masyarakat, tidak menyebarkan naratif palsu, dan tidak terpengaruh dengan isu yang tidak jelas sumbernya. Masyarakat perlu sentiasa mengikut arahan daripada pemerintah daerah,” katanya. – Agensi– HARAKAHDAILY 13/5/2024

- Advertisement -