Gaza: Israel perluas serangan di Kem Jabalia dan Rafah

Penduduk Palestin terpaksa berpindah keluar dari Rafah sejak semalam, 12 Mei 2024 yang diserang semakin hebat oleh tentera Zionis Israel pada hari ini (13 Mei ). (FOTO: Dubai Eye)
- Advertisement -

RAFAH: Kereta kebal tentera darat Zionis Israel Israel memperluas dan memperhebatkan serangan di kem pelarian Jabalia di utara Semenanjung Gaza (berhampiran bandar Gaza), dan melintasi lebuh raya utama di pinggir Rafah, di selatan Gaza pada hari ini, Isnin (13 Mei).

Sumber daripada media Hamas berkata, di Jabalia, kereta kebal cuba bergerak ke tengah-tengah kem, yang terbesar daripada lapan kem pelarian bersejarah di Gaza. 

- Advertisement -

Penduduk di situ berkata, peluru kereta kebal mendarat di tengah kem berkenaan dan serangan udara telah memusnahkan gugusan rumah yang ada di kawasan itu, lapor Rappler.

Terdahulu, penduduk dan pegawai perubatan Gaza berkata beberapa penduduk terbunuh dan cedera dalam beberapa siri serangan udara di kem semalam. 

Pakar perubatan berkata mereka tidak dapat menghantar pasukan ke beberapa kawasan yang dibom kerana intensiti pengeboman Israel tetapi mereka mempunyai laporan kematian.

Tentera Zionis Israel kini memperluaskan serangan melalui udara dan darah terhadap kawasan di Kem Jabalia di utara Semenanjung Gaza, dan Rafah di selatan. (FOTO: BBC)

Di Rafah, berhampiran sempadan dengan Mesir, Israel meningkatkan pengeboman udara dan darat di kawasan timur bandar itu, membunuh beberapa orang awam dalam serangan udara di kediaman penduduk.

Sementara Al Jazeera melaporkan bahawa tentera Israel menembak ambulans yang cuba membantu orang ramai  yang cedera ketika serangan udara Israel melanda kawasan kediaman yang sesak dalam kem pelarian berkenan, yang mata jet pejuang Israel dilaporkan telah mengebom blok 2 dan blok 4 kem berkenaan.

Kemusnahan lebih teruk

Tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan kepada penduduk kem pelarian Jabaliya pada Sabtu (11 Mei) lalu, memberitahu mereka untuk meninggalkan segera kawasan itu  kerana ia berkata tenteranya cuba menumpaskan pejuang  Hamas di sana.

“Mereka mengebom di mana-mana, termasuk berhampiran sekolah yang menempatkan orang  ramai yang kehilangan rumah,” kata seorang penduduk di Kem Jabaliya, Saed, 45, kepada Reuters semalam.

“Perang bermula semula, beginilah rupanya di Jabaliya,” tambahnya.

Pemandangan khemah-khemah penempatan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di barat bandar Deir al-Balah di tengah Semenanjung Gaza yang penuh sesak selepas beribu-ribumelarikan diri dari Rafah selepas tentera Israel mengumumkan permulaan operasi ketenteraan di sana. (FOTO: ZUMA Press Wire/dpa)

Serangan terbaharu Zionis itu dilakukan ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa pencerobohan langsung ke Rafah berkenaan berisiko membawa kepada kemusnahan yang lebih teruk.

PBB berkata, bantuan kemanusiaan turut disekat selepas tentera Israel menentang bantahan antarabangsa dan memasuki timur Rafah.

“Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh ketika serangan di tengah Gaza dan mangsa dibawa ke Hospital Syahid Al-Aqsa di bandar Deir al-Balah.

“Mayat yang diselaputi debu putih terbaring di atas tanah di halaman kemudahan itu. Seorang lelaki berkopiah menyandar pada satu beg badan, menggenggam tangan bersalut habuk yang menonjol. Kaki mayat lain mencucuk dari bawah selimut yang tertera gambar permainan patung teddy bear besar,” kata wakil PBB.  

Di Rafah yang terletak sejauh 36.8 kilometer ke utara Kem Jabalia, saksi melaporkan, serangan udara sengit berhampiran sempadan dengan Mesir, dan imej menunjukkan asap berkepul di atas bandar itu.

Dua aktres ternama Hollywood, Susan Sarandon dan Melissa Barrera memuatkan naik di Instagram masing-masing poster seruan gencatan senjata di Gaza susulan serangan terbaharu Zionis Israel ke atas Rafah. (FOTO: Tangkapan skrin Instagram)

Gencatan senjata jika Hamas bebaskan tebusan

Pada Sabtu (12 Mei)  lalu, Hamas telah mendedahkan Israel memperluaskan pencerobohan ke Rafah untuk memasukkan kawasan baharu di tengah dan barat bandar berkenaan. 

Tentera Israel pula telah merampas dan menutup lintasan di bahagian Palestin di lintasan sempadan Rafah-Mesir selepas mengarahkan penduduk di timur Rafah untuk berpindah.

Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata, gencatan senjata akan dicapai jika Hamas membebaskan tawanan.

Sementara itu, Hamas dalam satu video yang dikeluarkan juga pada Sabtu memberitahu, seorang tawanan Israel-British yang ditahan di Gaza sejak 7 Oktober telah meninggal dunia akibat serangan udara Israel.

Briged Ezzedine Al-Qassam yang mengeluarkan klip video berdurasi 11 saat itu menunjukkan tawanan, Nadav Popplewell masih hidup dan mengenal pasti dirinya.

Kumpulan Kempen Forum Tebusan dan Keluarga Hilang mengenal pasti Popplewell dalam satu kenyataan.

Dalam rakaman video dengan teks dalam bahasa Arab dan Ibrani itu memaparkan kenyataan yang berbunyi, “Masa semakin suntuk. Kerajaan (Israel) kamu berbohong”.

Tawanan itu tidak menunjukkan tanda-tanda kecederaan lain yang boleh dilihat. Memakai kemeja-T putih dan kelihatan bercakap dalam keadaan terpaksa, tebusan itu memperkenalkan dirinya sebagai Popplewell, 51, dari Kibbutz Nirim di selatan Israel. – Agensi– HARAKAHDAILY 13/5/2024

- Advertisement -