Zionis Israel tersepit, Amerika Syarikat terpalit

Keadaan Hospital Al-Nassar yang teruk dibom tentera Israel.
- Advertisement -

SITUASI di Palestin ketika ini masih berada dalam keadaan ngeri dan menyedihkan. Sehingga kini, lebih 34,000 orang rakyat Palestin di Semenanjung Gaza terkorban dengan hampir 80,000 lagi cedera akibat serangan bacul tidak berperikemanusiaan rejim Zionis Israel. Lebih 70 peratus bumi Gaza ketika ini ranap akibat dibom tentera rejim Zionis Israel.

Dipercayai ribuan lagi masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan dan ini tidak termasuk ribuan yang ditangkap dan disumbat ke dalam penjara. Tahanan rakyat Palestin yang dibebaskan mendedahkan kepada media utama dunia bagaimana mereka diseksa dengan ganas dan tidak berperikemanusiaan hampir setiap hari.

Lebih mengejutkan dunia baru-baru ini apabila dijumpai “kubur besar” yang mengandungi lebih 300 mayat rakyat Palestin di Hospital Al-Nassar, Khan Younis selepas pengunduran tentera rejim Zionis Israel dari hospital itu setelah menawan dan menjadikannya sebagai pusat operasi tentera dan “penjara sementara” rakyat Palestin.

- Advertisement -

Ada di antara mayat tersebut yang masih bergari, penuh dengan kesan tembakan, kesan siksaan, tanpa “seurat benang” malah dipercayai ada yang ditanam hidup-hidup. Selepas itu dijumpai pula sejumlah besar mayat rakyat Palestin di pekarangan Hospital Al-Shifa di bandar Gaza dan dipercayai terdapat lagi “kubur besar” di sekitar Semenanjung Gaza.

Perilaku ganas dan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis Israel meningkatkan kebangkitan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan sikap anti-Zionis di negara-negara Barat khususnya golongan muda ketika propaganda dan sokongan ke atas rejim Zionis Israel dan sekutu Barat berada pada paling buruk abad ini.

Polisi “double standard” negara Barat ke atas Palestin, sokongan tidak berbelah bahagi ke atas rejim Zionis Israel, bantuan kewangan dan ketenteraan tanpa had ke atas rejim Zionis Israel dan terbongkarnya penipuan yang mendedahkan manipulasi propaganda rejim Zionis Israel dan Barat ke atas naratif rakyat Palestin adalah “pengganas” menyemarakkan lagi kebangkitan anak muda di Barat.

Protes dan demonstrasi yang bermula di beberapa universiti di Amerika Syarikat (AS) kini telah merebak ke seluruh negara “Uncle Sam” tersebut. Tidak hanya terhenti di situ, gelombang kebangkitan anak muda merebak ke universiti di seluruh dunia dengan demonstrasi anti Zionis dan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Kebangkitan ini mencetuskan kebimbangan pemimpin utama Barat, terutama AS yang bakal berdepan pilihan raya Presiden pada November tahun ini. Perang proksi Barat yang sedang berlangsung di Ukraine dengan Rusia lebih dua tahun kini tidak memihak kepada mereka dan telah menyebabkan kehilangan sokongan besar ke atas pemimpin negara Barat baik di dunia mahu pun di negara mereka sendiri.

Ini mencetuskan kebimbangan yang amat tinggi ke atas pemimpin Barat, khususnya AS tambahan lagi setelah Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan bahawa tentera rejim Zionis Israel akan menyerang Rafah yang berkemungkinan menyebabkan Barat bakal kehilangan sokongan sekutu kuatnya dari kalangan negara-negara Arab.

Oleh disebabkan itu Barat dalam diam melakukan “u-turn” mengejut dengan mendesak negara haram Israel untuk menerima cadangan gencatan senjata walaupun AS beberapa kali menggunakan undi veto menolak cadangan gencatan senjata yang diusulkan di mesyuarat Majlis Keselamatan PBB. Pemimpin negara Eropah juga dalam diam turut mendesak dan menekan rejim Zionis Israel agar menerima cadangan gencatan senjata tersebut.

Maka pada Sabtu lalu berlangsunglah rundingan gencatan senjata yang dimediasi oleh Mesir dan Qatar yang dihadiri oleh wakil Hamas, sehari selepas dilaporkan hadirnya Pengarah CIA, William Burns di Mesir.

Dilaporkan juga bahawa Mesir dan Qatar menekan Hamas agar menerima cadangan gencatan senjata tersebut walaupun Hamas sejak awal-awal lagi menyatakan bahawa mereka akan menerima cadangan senjata sekiranya syarat utama mereka iaitu menamatkan perang, pengunduran sepenuhnya tentera rejim Zionis Israel dan gencatan senjata kekal dimeterai di Gaza.

Sebagaimana yang dijangka, regim Zionis Israel menolak syarat Hamas. Netanyahu beberapa hari sebelum berlangsungnya rundingan gencatan senjata menyatakan bahawa beliau akan meneruskan rancangannya untuk menyerang Rafah dalam usaha untuk menghapuskan Hamas serta kebangkitan perjuangan rakyat Palestin.

Netanyahu sedar dengan penolakan cadangan gencatan senjata tersebut akan membawa mala petaka besar kepada beliau dan kerajaannya. Beliau kini berhadapan dengan kebangkitan besar-besaran majoriti pendatang haram Yahudi yang hampir setiap hari mengadakan demonstrasi mendesak beliau menerima cadangan gencatan senjata atau beliau dan kerajaannya meletakkan jawatan.

Namun apa yang paling menakutkan Netanyahu adalah kehilangan sokongan dari parti ekstremis Zionis Israel yang dipimpin oleh Itamar Ben-Gvir, Menteri Keselamatan Nasional dan Bezalel Smotrich, Menteri Kewangan negara haram Israel. Dua pemimpin utama rejim Zionis Israel inilah yang menjadi dalang utama segala kerakusan, pencerobohan, keganasan dan pembunuhan yang berlaku di Palestin khususnya di Semenanjung Gaza ketika ini.

Kehilangan sokongan daripada dua pemimpin ini dan parti politik ekstremis Zionis Israel bakal menyebabkan Benjamin Netanyahu dan kerajaan pimpinannya jatuh tersungkur. Kehilangan jawatan Perdana Menteri buat Netanyahu akan membawa malapetaka buat beliau yang berhadapan kes rasuah yang dilaporkan bakal menamatkan karier politik dan kehidupannya.

Pemimpin-pemimpin Barat juga sebenarnya tidak menyukai Netanyahu kerana sikap ekstremisnya apatah lagi keakraban dan sokongan tidak berbelah bahaginya terhadap bekas Presiden AS, Donald Trump. Maka tidak hairanlah apabila Netanyahu dan pemimpin ekstremis Zionis Israel menuduh Barat adalah kuasa di sebalik demonstrasi besar-besaran di negara haram Israel untuk menumbangkan beliau dan kerajaannya.

Apa yang pasti kini rejim Israel berada di ambang pengakhirannya. Jika berakhirnya penjajahan rejim Zionis Israel bermakna akan bebas dan merdekalah bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa. Bukan sekadar itu sahaja, pengakhirannya juga bermakna akan terhapuslah satu-satunya “ibu pejabat” Barat sejak 75 tahun lalu yang mendominasi geopolitik, tamadun dan idealisme yang selama ini mencengkam bumi Asia Barat.

Sama-sama kita doakan agar Palestin dan rakyatnya bakal menikmati kebebasan dan kemerdekaan tidak lama lagi serta doakan agar mereka selamat dan dilindungi Allah SWT daripada keganasan regim Zionis Israel dan sekutunya. Semoga doa kita semua diangkat dan dimakbulkan Allah SWT Insya-Allah. – HARAKAHDAILY 9/5/2024

- Advertisement -