
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Kementerian Pertahanan untuk mengarahkan dua syarikat pembekal senjata – Lockheed Martin dan BAE System untuk segera keluar dari Malaysia.
Dalam catatan di laman media sosialnya, beliau berkata, ketika ini kedua-dua syarikat tersebut yang merupakan pembekal senjata kepada rejim Zionis, hadir ke negara ini untuk menyertai pameran Pameran Defence and Service Asia (DSA) dan NATSEC Asia 2024 di ibu negara.
“Beberapa syarikat pembuat senjata, yang ketika ini digunakan untuk membantai rakyat Palestin, diberitakan hadir di Pameran Defence and Service Asia (DSA) dan NATSEC Asia 2024, seharusnya disuruh pulang dan meninggalkan Malaysia dengan seberapa segera.
“Dua syarikat utama – Lockheed Martin dan BAE System merupakan pembekal senjata yang besar kepada regim Zionis untuk melakukan serangan-serangan dan pengeboman ke atas rakyat Palestin sejak 7 Oktober tahun lalu,” kata beliau.
Tambahnya, kehadiran kedua-dua syarikat itu ke Malaysia pada ketika ini atas anjuran DSA dan NATSEC Asia 2024 dengan kerjasama Kementerian Pertahanan adalah sesuatu yang amat menjengkelkan dan penghinaan kepada perjuangan rakyat Palestin dan dokongan rakyat Malaysia yang menentang genosid yang sedang dilakukan di Gaza.
“Memang benar mereka pernah hadir di dalam anjuran-anjuran terdahulu. Tetapi keadaan kali ini amat luar biasa dan genosid Zionis terhadap Palestin begitu kejam dan tanpa sedikit pun perikemanusiaan.
“Membenarkan syarikat-syarikat sedemikian memperolok dan mempersenda segala usaha kita menentang kekejaman regim Tel Aviv. Kita seolah-olah bersekongkol dengan mereka menumpah darah rakyat Palestin termasuk bayi, kanak-kanak dan orang awam yang lain,” tegasnya.
Mahathir menyatakan, kerajaan Malaysia dan Kementerian Pertahanan harus mengambil tindakan tegas dan mengarah syarikat-syarikat ini keluar dari Malaysia seberapa segera yang boleh.
“Tindakan ini tidak terhad kepada dua syarikat tersebut. Jika ada syarikat-syarikat lain yang membekal senjata kepada regim Zionis masa kini, mereka juga perlu dinyah keluar dari Malaysia.
“Mereka perlu tahu bahawa tidak ada tempat di Malaysia untuk mana-mana pihak yang menyokong atau bersubahat dengan Israel melakukan genosid ke atas rakyat Palestin,” katanya.
Terdahulu pada Isnin (6 Mei), Harakahdaily melaporkan kenyataan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang menegaskan bahawa PAS mendesak kerajaan agar menggugurkan syarikat pembuat senjata zionis daripada acara rasmi Kementerian Pertahanan yang akan berlangsung di hadapan Pusat Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 6 hingga 9 Mei ini.
“Saya mendapat maklumat bahawa program tersebut iaitu Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 akan melibatkan ribuan syarikat pempamer daripada hampir 60 negara seluruh dunia. Hal ini termasuklah beberapa Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia.
“Hasil dapatan oleh gerakan Gegar Amerika mendapati syarikat yang turut menyumbang kepada pembuatan senjata Zionis Israel seperti Lockheed Martin, MBDA (BAE Systems), Aim Point, Colt, L3Harris, Leupold, Shield AI dan Leonardo turut hadir sebagai pempamer dalam program ini.
“Apa yang lebih mengecewakan, syarikat seperti Lockheed Martin dan MBDA (BAE Systems) yang menjadi penyumbang platinum kepada acara ini adalah merupakan pembuat kepada jet tempur yang saban hari mengebom rakyat Gaza dan Palestin,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/5/2024




















