Lanun Somalia rampas kapal Bangladesh

Kapal MV Abdullah diserang lanun, kira-kira 550 batu nautika dari perairan Somalia. (FOTO: Barta24)
- Advertisement -

CHITTAGONG: Sebuah kapal dagang yang belayar dengan bendera Bangladesh dimiliki syarikat Kabir Steel Re-Rolling Mills telah dirampas di perairan Somalia dan 23 anak kapalnya telah dijadikan tebusan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Meherul Karim berkata,  serangan berlaku pada tengah hari Selasa (12 Mac) apabila sekumpulan 15 hingga 20 lanun Somalia bertindak merampas kapal berkenaan dengan menaiki bot laju sebelum melepaskan tembakan.

- Advertisement -

Kapal yang berdaftar dengan nama MV Abdullah itu dalam perjalanan dari Maputo, ibu negara Mozambique ke United Arab Emirates (UAE) dengan membawa kargo seberat 55,000 tan arang apabila serangan dilakukan, lapor Al Jazeera

Tambah Karim, anak kapal tidak mengalami sebarang kecederaan dan mereka masih menunggu untuk sebarang ‘panggilan atau mesej’ daripada anak-anak kapal.

Sementara itu, jurucakap kepada pemilik kapal berkenaan memaklumkan bahawa serangan tersebut berlaku di 550 batu nautika (1,000 km) dari luar pantai Somalia. 

Rampasan yang berlaku di luar pantai Somalia sejak Disember lepas telah membangkitkan kerisauan mengenai kebangkitan aktiviti rampasan kapal yang berlaku di Lautan Hindi oleh lanun, di sebalik kebangkitan serangan dilakukan oleh Houthi Yaman.

Pihak Houthi sebelum ini telah melancarkan beberapa siri serangan di Teluk Aden dan Laut Merah terhadap kapal-kapal dagang yang mempunyai kaitan dengan Israel sebagai sokongan kepada rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Penganalisis bagaimanapun menyatakan serangan lanun Somalia kali ini tidak mendatangkan sebarang ancaman seperti yang mereka lakukan pada 2011 apabila serangan dilakukan sejauh 3,655 kilometeer dari pantai Somalia. – HARAKAHDAILY 13/3/2024

- Advertisement -