Chu Lah, pengusaha harumanis veteran teruja dihargai

Muhammad Azmir (kanan) menyerahkan frame keratan akhbar Harakah kepada Chu Lah.
- Advertisement -

KANGAR: Abdullah Lebai Isa, yang dikenali dengan panggilan Chu Lah, meluahkan kegembiraannya selepas menerima pengiktirafan istimewa dalam bentuk frame keratan akhbar Harakah daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan, Ustaz Muhammad Azmir Azizan.

- Advertisement -

Chu Lah antara individu awal mengusahakan tanaman harumanis di DUN Santan.

“Saya teruja menerima penghargaan ini. Sudah lama saya terlibat dalam usaha tanaman harumanis, dan melihat gambar saya di keratan akhbar Harakah sungguh membanggakan,” katanya.

Muhammad Azmir berkata, inisiatif memberikan frame keratan akhbar Harakah itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada individu seumpamanya yang bersusah payah  mengembangkan industri tempatan.

“Chu Lah antara orang lama yang mengusahakan tanaman ini, bila jumpa keratan akhbar Harakah yang ada gambar dia, saya terus pergi kedai frame.

“Lepas siap saya sendiri hantar di rumahnya, Alhamdulillah katanya belum ada lagi yang mai hantar surat khabar siap dengan frame,” ujarnya ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Katanya, ladang yang dikenali sebagai Perusahaan Abdullah Sekeluarga (PAS) itu mengalami perkembangan positif dari masa ke semasa.

“Ladangnya semakin berkembang dan dikenali ramai. Musim harumanis akan tiba tidak lama lagi, dan pihaknya bersedia menerima tempahan sama ada dalam negeri atau luar negeri,” katanya.

Inisiatif ADUN Santan bukan sahaja memberi penghargaan kepada individu seperti Chu Lah, tetapi juga menunjukkan sokongan kepada industri buah-buahan tempatan yang semakin berkembang. – HARAKAHDAILY 13/3/2024

- Advertisement -