
KUALA LUMPUR: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menyokong kenyataan Prof Datuk Dr Teo Kok Seong mengenai isu sekolah vernakular tanpa berbelah bahagi sedikitpun.
Ketua Penerangan Parti Putra (PUTRA), Shahrulufti Sharif berkata, kenyataan Kok Seong bahawa sekolah vernakular dari segi sejarah sebagai punca perpecahan kaum dan tidak membantu ke arah integrasi nasional sangat berintegriti.
“Kenyataan Prof Datuk Dr Teo Kok Seong yang merupakan daripada seorang akademik bukan bumiputera merupakan sifat yang benar-benar berani dan berintegriti kerana ia berdasarkan kajian akademik yang mendalam dan fakta yang sahih.
“Inilah seorang tokoh akademik bukan bumiputra yang berintegriti, berani dan berpijak di bumi nyata serta menerima kebenaran sejarah yang mana kenyataan beliau tidak ada kena sedikitpun dengan sifat perkauman (rasisme),” katanya.
Menurut beliau, ini yang dikatakan sebagai berani berkata benar walaupun pahit yang mana Kok Seong telah menunjukkan teladan dengan berdiri teguh bersama Prinsip Asas Perlembagaan Negara Fasal 151,152 dan 153 serta yang berkaitan dengan Prinsip Rukun Negara itu sendiri.
Negara Thailand, Singapura dan Indonesia, ujar Shahrulufti, boleh dijadikan sebagai contoh menegakkan satu bahasa dan satu negara demi kepentingan perpaduan nasional.
“PUTRA menolak sebarang usaha untuk menutup mulut mereka yang berani berbicara demi memperkukuhkan kesatuan nasional melalui perbincangan terbuka dan pendidikan.

“Tindakan menggambarkan kenyataan yang berlandaskan kebenaran ilmiah sebagai hasutan (oleh ahli politik) adalah serangan langsung terhadap kebebasan akademik dan kebebasan bersuara yang dilindungi oleh Perlembagaan negara kita,” tegasnya.
Beliau menyatakan PUTRA sehubungan itu, mendesak semua pihak khususnya pemimpin politik, agar berani dan tegas dalam mempertahankan nilai-nilai asas negara Malaysia dan tidak menjadi anti-nasional saperti ditunjukkan oleh beberapa ahli politik yang tidak bersifat seperti pepatah ‘dimana bumi di pijak di situ langit dijunjung’.
Kata beliau lagi, PUTRA juga tidak akan sesekali pun gentar dalam menghadapi tekanan atau ancaman yang bertujuan untuk menghalang daripada menyatakan kebenaran.
“Putra berdiri bersama-sama dengan Prof Kok Seong, Prof Ridhuan Tee, dan Firdaus Wong Wai Hung dalam mempertahankan prinsip yang pertubuhan percaya.
“Kami semua akan terus berjuang untuk Malaysia yang lebih bersatu dan harmoni, di mana setiap suara dihargai dan setiap pandangan dihormati,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/3/2024




















