
KUALA LUMPUR: Pesawah-pesawah padi yang terlibat dengan masalah tanah jerlus kecewa apabila permohonan bantuan untuk mereka atas kerugian terjadi akibat masalah itu ditolak oleh agensi kerajaan terbabit.
Ustaz Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) berkata, penolakan itu dibuat kementerian atas alasan ia bukan suatu bentuk bencana, walaupun pernah diakui Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sendiri.
“Dalam jawapan bertulis dulu sesi yang lepas YB Menteri jawab boleh mohon bantuan bencana. Jadi saya maklumkan pada para pesawah. Mereka pun mohon ke Jabatan Pertanian dan permohonan diangkat ke negeri. Negeri angkat ke Pusat, tapi tak lulus.
“Sebab pasir jerlus (dikatakan) bukan masalah bencana. Tetapi jawapan Yang Berhormat Menteri dalam jawapan bertulis kata boleh mohon. Jadi rakyat pun kecewa sebab tak lulus,” ujar beliau.
Tambah Misbahul, para petani pesawah padi menanggung kerugian musim ini lebih kurang RM6.8 juta, berbanding musim yang lepas hanya RM2 juta lebih.
Beliau turut membangkitkan isu tanah yang direhatkan di mana dalam jawapan bertulis oleh Menteri memberitahu bahawa tanah perlu direhatkan semusim ataupun dua musim untuk tujuan diselenggarakan sistem perparitan dan perataan tanahnya.
“Sehingga sekarang apa tindakan agensi kerajaan berkaitan dengan tanah yang direhatkan semusim atau pun dua musim?
“Kami sudah berdialog dengan para pesawah, mereka tak ada masalah kalau direhatkan tapi dengan syarat bagilah pampasan yang sewajarnya,” ujarnya lagi.
Beliau turut membangkitkan mengenai bantuan bernilai RM250 yang masih belum diterima oleh petani dan pesawah di Perak khususnya Kerian, Parit Buntar dan Bagai Serai.
Beliau membangkitkan perkara ini di Dewan Rakyat hari ini sewaktu mencelah pada ucapan Penggulungan Perbahasan Junjung Kasih Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Sementara itu, Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam jawapan beliau memaklumkan bahawa peruntukan bantuan untuk masalah tanah jerlus telah diwujudkan.
“Tanah jerlus saya dah sebut tadi, kali ini ada peruntukannya. Cuba memohon. Sekali lagi saya akan ingatkan para pegawai supaya dapat mencari jalan membantu mereka yang terlibat dalam hal tanah jerlus ini.
“Soal pampasan itu saya akan melihat, kalau tak tanah itu direhatkan wang pampasan dan sebagainya, kita akan bincang dan kita akan cuba memberi kelulusan di situ,” ujarnya.
Manakala untuk bantuan sebanyak RM250 beliau berjanji untuk mengingatkan pegawai kementerian supaya ia dipercepatkan kepada kesemua mereka terlibat dalam membuat sawah itu.– HARAKAHDAILY 11/3/2024




















