
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewujudkan kesiapsiagaan pelajar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) agar dilengkapi dengan pengetahuan dalam bidang generatif kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber.
Dato’ Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) berkata, perkara tersebut penting ke arah menyumbang kepada membina masa depan digital yang lebih selamat dan inklusif seiring dengan keperluan industri.
“Pada masa yang sama (perkara ini dapat) meningkatkan kemahiran tenaga pengajar TVET GiatMARA dalam mengaplikasikan pengetahuan dan teknologi baharu dalam proses latihan untuk pelajar.
“Selain itu apakah inisiatif untuk menjalinkan kolaborasi dengan penyedia latihan TVET khususnya dari segi penyediaan fasiliti keusahawanan, latihan dan bantuan pembiayaan,” soalnya.
Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa bertanyakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Sementara itu, beliau dalam soalan asal meminta kementerian menyatakan perancangan bagi memperkasakan lagi program TVET melalui pusat GiatMARA untuk melahirkan lebih ramai anak muda yang mahir dalam bidang automotif dan kemahiran lain.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, kementeriannya telah melaksanakan program GiatMARA ke arah Hi-Tech iaitu membuat pelan rasionalisasi program GiatMARA ke arah teknologi baru.
“Selain itu di bawah program TVET keusahawanan bukan sahaja memberi latihan kepada teknikal tetapi juga memberi penekanan dari sudut aspek keusahawanan.
“Bantuan dan sokongan akan diberikan kepada pelatih-pelatih kita dari sudut geran melalui program putra yang telah pun berjalan dari dulu sampai sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/3/2024




















