
BEIJING: Kemungkinan Donald Trump kembali menjadi Presiden Amerika Syarikat menjelang pilihan raya pada Nov tahun ini telah membimbangkan China.
China selaku negara yang membawa fahaman dan ideologi berbeza dengan AS merupakan pesaing utama dari segi ekonomi dan ketenteraan, mengikuti rapat perkembangan pilihan raya AS; dan pengalaman sepanjang pentadbiran Trump yang lepas dan pengalaman semasa yang dialami sewaktu pentadbiran Presiden terkini, Joe Biden turut menjadi fokus pentadbiran China.
Pemerhati politik di China melihat perbincangan mengenai kemungkinan kembalinya Trump sebagai Presiden sangat penting, yang mana beliau dilihat sebagai seorang pemimpin yang ‘sangat sukar dijangka’ berbanding Biden, lapor CNBC.
Sewaktu pentadbiran Trump pada 2017, Presiden China, Xi Jinping telah hadir mengadakan perbincangan di penginapan Trump, Mar-a-Lago di Florida, di mana Trump menyatakan mereka mempunyai ‘keserasian’ dan menganggap Jinping sebagai seorang yang ‘sangat istimewa’.
Walau bagaimanapun, hubungan dua hala China-Amerika menjadi dingin setahun kemudiannya susulan tindakan Trump yang menaikkan tarif sebanyak 25 peratus terhadap barangan import China berjumlah AS$50 billion, yang kemudian dianggap sebagai permulaan kepada ‘perang perdagangan’.
Hubungan dengan China bertambah buruk dengan tindakan Amerika mengharamkan penjualan telefon pintar Huawei serta penularan wabak Covid-19 yang menjejaskan seluruh dunia.
Dengan situasi masa kini,Trump dilihat bakal mengenakan tarif terhadap barangan China sebanyak 60%, tindakan yang bakal menyebabkan berlaku pergolakan hubungan perdagangan dan berpotensi menjatuhkan saham China terhadap import Amerika sebanyak 3%.
Pensyarah ekonomi di China Europe International Business School, Shanghai, Bala Ramasamy berkata, jika perkara tersebut dilakukan oleh Trump selepas beliau kembali dilantik Presiden (atau Trump 2.0) dengan cara yang sangat kuat, kesannya terhadap China akan menjadi sangat teruk.
“Sama ada perkata itu akan berlaku tidak jelas, tiada siapa yang boleh mengatakan apa yang Trump akan lakukan, dan inilah masalahnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/3/2024




















