
KUALA LUMPUR: Tindakan Lim Guan Eng (PH- Bagan) yang melabel Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong sebagai ‘lupa daratan’ menyebabkan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) bangun membantah.
Radzi membawakan Peraturan Mesyuarat 36-9 yang menyebut bahawa ‘dalam apa-apa perbahasan tidak boleh disebutkan kelakuan atau sifat-sifat sesiapa Ahli-ahli Parlimen atau sesiapa pegawai kerajaan’.
“Tadi Bagan sebut Prof Teo Kok Seong lupa daratan. Tak payahlah bawa dia sampai ke tahap itu. Itu pandangan akademik dia. Kalau boleh Bagan minta tarik balik,” tegasnya.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebagai reaksi balas terhadap perkara itu telah meminta agar Bagan menarik balik kenyataan telah diucapkannya.
“Baik, Bagan, saya setuju perkataan ‘lupa daratan’ itu ditarik balik,” ujarnya dan Lim Guan Eng kemudiannya akur dan menarik balik tuduhan terhadap Dr Teo itu.
Isu itu timbul semasa Menteri Dalam Negeri sedang menyampaikan ucapan Penggulungan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini yang menyentuh kontroversi kenyataan tokoh akademik itu berkaitan sekolah vernakular baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 11/3/2024




















