
SESUNGGUHNYA perhatian syariat terhadap hati adalah sangat besar. Barang siapa yang memiliki hati yang bersih, maka akan membawa ketenangan dan kebahagiaan kepadanya ketika menghadap Allah SWT pada hari kiamat kelak.
Allah SWT berfirman:
يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٞ وَلَا بَنُونَ ٨٨ إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٖ سَلِيمٖ ٨٩
“Iaitu pada hari tidak berguna harta dan anak-anak, kecuali orang-orang yang (datang) menghadap Allah dengan hati yang bersih.” (Surah As-Syu’ara’ 88-89)
Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diperhatikan oleh seseorang untuk memiliki hati yang bersih.
1. Menjaga lisan
Menjaga lisan adalah di antara perkara yang menjadikan hati seseorang bersih. Hal ini telah ditegaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabda Baginda:
لا يستقيمُ إيمان عبد حتى يستقيمَ قلبه، ولا يستقيم قلبه حتى يستقيم لسانه
“Tidak akan lurus iman seorang hamba hingga lurus hatinya, dan hati tidak akan lurus hingga lurus lisannya.” (HR Ahmad).
Hadis ini merupakan dalil yang sangat kuat bahawa lisan mempunyai pengaruh besar terhadap hati.
2. Beristighfar
Sepanjang kehidupan seseorang perlu diisi dengan banyak beristighfar kepada Allah SWT, memohon ampun kepada-Nya atas segala dosa dan kesilapan yang kita lakukan.
Perkara ini sangat diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW apabila berhadapan masalah atau sesuatu yang mengganggu hatinya, kemudian untuk menghilangkan masalah tersebut, Baginda akan beristighfar kepada Allah SWT. Nabi SAW bersabda:
إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِي وَإِنِّي لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ فِي الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ
“Ada sesuatu yang mengganggu hatiku, dan kerana itu sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah sebanyak seratus kali dalam sehari.” (HR Muslim no.2702)
3. Berzikir
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَطۡمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكۡرِ ٱللَّهِۗ أَلَا بِذِكۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَئِنُّ ٱلۡقُلُوبُ ٢٨
“Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” (Surah Ar-Ra’d: 28)
Semakin banyak kita mengingati Allah, maka Allah SWT akan banyak mengingati kita. Allah SWT berfirman:
فَٱذۡكُرُونِيٓ أَذۡكُرۡكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِي وَلَا تَكۡفُرُونِ ١٥٢
“Maka ingatlah kepada-Ku, nescaya Aku juga akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku.” (Surah Al-Baqarah: 152)
Seseorang jika ingin selalu diingati Allah SWT atau mendapat perhatian yang khusus dari Allah SWT, maka hendaklah dia selalu berzikir kepada Allah SWT dan zikir yang terbaik ialah dengan membaca al-Quran.
4. Ikhlas
Orang yang ikhlas adalah orang yang tidak mengharapkan pujian orang lain. Dia hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT. Berkata Sheikh Abdurrahman bin Nasir As-Sa’di dalam tafsirnya yang bermaksud, “tanda kebahagiaan seseorang hamba ialah dia ikhlas kepada yang disembah (Allah) dan dia berusaha memberi manfaat kepada orang lain.” (Tafsir as-Sa’di 1/400).
Seseorang yang bahagia ialah sesiapa yang mengumpulkan dua perkara ini iaitu ikhlas kepada Allah SWT dan berusaha memberi manfaat kepada orang lain. Dengan membantu orang lain, sebagai contoh memberi bantuan dari sudut kewangan atau tenaga dan lain-lain dapat menjadikan hati seseorang lembut dan bersih dari segala kekotoran.
Ada seseorang yang mengadu kepada Nabi SAW mengenai bagaimana hendak melembutkan hatinya yang keras, lalu jawab Baginda SAW yang bermaksud: “Jika engkau ingin hatimu menjadi lembut, maka berilah makan kepada orang miskin dan usaplah kepala anak yatim.” (HR Ahmad).
Semakin kita membantu orang lain, maka kita akan berasa bahagia yang akan meresap masuk ke dalam hati. Akhirnya hati kita akan berasa kemanisan Iman. Itulah tanda hati kita bersih.
5. Bersedekah dan menerima takdir
Membelanjakan harta kepada orang yang memerlukan dapat melunakkan hati kita selain mendapat pahala serta keampunan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ
“Bersedekah dapat memadamkan dosa sebagaimana air dapat memadamkan api.” (HR At-Tirmizi no. 2616)
Antara perkara yang dapat membersihkan hati dari kotoran adalah dengan sentiasa menerima takdir Allah SWT. Firman Allah SWT:
مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذۡنِ ٱللَّهِۗ وَمَن يُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ يَهۡدِ قَلۡبَهُۥۚ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَيۡءٍ عَلِيمٞ ١١
“Tidak ada sesuatu musibah yang menimpa (seseorang), kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah At-Taghabun: 11)
Ini adalah salah satu perkara yang paling penting untuk membuat hati seseorang bersih. Sebenarnya sesiapa sahaja di antara kita pasti hidup dalam ujian. Tiada manusia di muka bumi ini melainkan mereka pasti diuji, baik lelaki atau perempuan, kaya atau miskin, muda atau tua, semuanya pasti akan diuji oleh Allah SWT. Namun, apabila kita bersangka baik kepada Allah SWT, menerima takdir yang telah Allah SWT tetapkan untuk kita, maka hati kita akan menjadi lebih tenang dan sudah tentu hati kita akan menjadi lebih bersih.
6. Berdoa
Antara doa yang sering diucapkan oleh Nabi Muhammad SAW ialah,
اللَّهُمَّ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
“Ya Allah Yang Maha membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu.” (HR al-Bukhari dalam al Adab al Mufrad no. 683).
Sesungguhnya doa merupakan senjata bagi orang mukmin. Dengan berdoa dapat melunakkan hati kita. Kita dapat merasakan diri ini sebagai seorang hamba yang mempunyai Tuhan yang Maha Pengampun. Dengan memohon kepada Allah SWT dalam doa juga menjadikan hati seseorang akan menjadi lebih tenang dan bersih.– HARAKAHDAILY 8/2/2024




















