
KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,655 bot nelayan asing Vietnam dan 14,174 anak kapal telah ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia kerana menceroboh perairan negara sejak 2006 sehingga Mei 2023.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, Malaysia sentiasa mengambil tindakan segera dengan menghantar nota bantahan (protest note) melalui Kementerian Luar Negeri kepada Kerajaan Vietnam bagi menzahirkan kebimbangan terhadap insiden pencerobohan yang semakin meningkat.
“Kerajaan sentiasa memberi perhatian serius kepada insiden-insiden pencerobohan perairan negara oleh nelayan-nelayan Vietnam,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Wan Hassan Mohd Ramli [PN-Dungun] di Dewan Rakyat, semalam.
Wan Hassan dalam soalannya meminta Menteri Luar Negeri menyatakan bentuk kerjasama antara Malaysia dengan Kerajaan Vietnam bagi menangani pencerobohan perairan negara oleh nelayan Vietnam sebagaimana dipersetujui dalam pertemuan antara YAB Perdana Menteri dengan Presiden Vietnam pada November tahun lepas.
Menurut Mohamad Alamin, semasa pertemuan Perdana Menteri dengan Presiden Vietnam, Vo Van Thuong, di sela-sela Persidangan APEC ke-30 pada 16 November 2023 di San Francisco, Amerika Syarikat, Perdana Menteri sekali lagi telah membangkitkan isu pencerobohan nelayan Vietnam kepada Presiden Vietnam.
Tambahnya, semasa pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin telah bersetuju supaya Malaysia membantu usaha Vietnam membaiki tatakelola dan penguatkuasaan terhadap aktiviti perikanan oleh nelayan-nelayan Vietnam.
Beliau berkata, isu itu juga sentiasa dibincangkan di Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (Joint Commission Meeting – JCM) di peringkat Menteri Luar Negeri serta Dialog Strategik Pegawai Kanan (Senior Officials’ Strategic Dialogue – SOSD) di peringkat pegawai kanan Kementerian Luar Negeri.
Katanya, semasa Mesyuarat Suruhanjaya Bersama ke-7 Malaysia-Vietnam (7th Joint Commission Meeting Malaysia-Vietnam) yang telah diadakan pada 20 Julai 2023 di Hanoi, pihak Malaysia telah membangkitkan isu pencerobohan nelayan Vietnam di perairan negara, di mana pihak Vietnam telah bersetuju untuk memberi kerjasama dalam menangani isu itu.
Menurutnya, Vietnam juga telah dikenakan amaran ‘kad kuning’ (yellow card) oleh Suruhanjaya Eropah (European Commission – EC) atas kegagalan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mencegah pencerobohan nelayan mereka di perairan negara asing.
“Sekiranya perkara ini berterusan, Vietnam boleh dikenakan ‘kad merah’ (red card) oleh EC yang boleh menyebabkan larangan eksport hasil laut dari Vietnam ke negara-negara EU,” ujarnya.
Tambahnya, tekanan yang diberikan oleh EC kepada Vietnam telah meningkatkan lagi komitmen Vietnam untuk memperluas kesedaran dalam kalangan nelayan-nelayannya untuk tidak menceroboh perairan asing terutamanya di perairan Malaysia.
Menurutnya lagi, Kementerian Luar Negeri berpendirian perairan negara merupakan sumber ekonomi biru dan ianya adalah isu kedaulatan yang perlu dipertahankan serta dilindungi.
Tambahnya, kementerian akan terus memainkan peranan membantu kementerian dan agensi berkaitan dalam usaha mencari penyelesaian kepada isu pencerobohan perairan negara melalui mekanisme dua hala atau kerjasama serantau.
Katanya, isu pencerobohan oleh nelayan-nelayan asing dari negara tetangga ke perairan dan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) secara langsung telah dan akan menggugat kelestarian industri perikanan, serta mengganggu pertumbuhan ekosistem perairan negara.
“Isu pencerobohan ini juga sering menjadi topik perbincangan dalam mesyuarat-mesyuarat dua hala, dan perlu ditadbir urus secara teliti bagi menjaga kepentingan negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/3/2024











