
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) perlu melaksanakan tugas secara cekap dan efisyen untuk menegakkan perkara yang benar dan melarang perbuatan salah secara profesional.
Soalan tambahan yang dikemukakan oleh ADUN Hulu Bernam, Tuan Mu’izzuddeen Mahyuddin meminta EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Tuan Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkenaan pemeliharaan akidah anak di bawah umur 18 tahun bagi ibu atau bapanya yang telah berhijrah menjadi sahabat baharu dalam Islam.
“Saya amat memahami isu ini panjang dibahaskan sebelum ini dalam usaha meminda enakmen RUU pentadbiran Agama Islam Perenggan 117 (B).
“Apakah usaha kerajaan negeri Selangor dalam mengharmonikan kes-kes yang pernah berlaku sebelum ini,” soal beliau ketika sesi Persidangan Dewan Negeri Selangor.
Menurut EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Tuan Dr. Mohammad Fahmi Ngah memberitahu bahawa pengharmonian kes-kes yang berlaku tersebut, kajian sedang dijalankan secara dalaman di peringkat JAIS dan juga Undang-undang MAIS.
Perkara itu akan diselaraskan menerusi jawatankuasa khas yang ditubuhkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) di peringkat Persekutuan
Sementara itu, soalan tambahan kedua pula berkaitan dengan unit manakah di bawah JAIS yang akan melaksanakan tugas-tugas memberikan penerangan dan kefahaman kepada yang bukan beragama Islam, tetapi telah menunjukkan minat untuk mengetahui lanjut tentang Agama Islam itu sendiri dan adakah ada unit yang diberikan tanggungjawab memberikan sokongan psiko emosi kepada sahabat baharu atau mualaf ini?
Justeru, Tuan Dr. Mohammad Fahmi memberitahu bahawa, perkara itu adalah dibuat di bawah program dakwah di peringkat JAIS. – HARAKAHDAILY 7/2/2024




















