
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu akan sentiasa membantu dan menyokong agar orang kurang upaya (OKU) terus kental, berdaya tahan dan bersifat lentur bagi menyesuaikan diri dengan cara hidup norma baharu.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan tidak pernah sesekali meminggirkan golongan OKU, malah sentiasa mengiktiraf peranan dan kepentingan mereka terutamanya dalam agenda kerajaan hari ini.
“Kita semua perlu menyantuni golongan OKU secara adil serta meningkatkan penyertaan mereka di dalam pelbagai bidang.
“Lebih banyak ruang dan peluang yang perlu diberikan untuk memastikan OKU terlibat dalam agenda pembangunan negara.
“Pelbagai cabaran pastinya bakal dihadapi, dan daripada tekanan ini juga akan menghasilkan peluang kepada kita semua khususnya Keluarga OKU,” katanya pada Majlis Pelancaran Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Negeri Terengganu (MTOT) di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini, semalam. Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim dan timbalannya, Zuraida Md Noor.
Beliau berkata, dengan wujudnya MTOT, kerajaan tidak boleh memandang ringan tentang aduan golongan OKU dan apa yang diutuskan perlu dibawa oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat pada mesyuarat Exco.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung itu turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah yang terpilih pada majlis itu. (Foto atas)
“Kemenangan ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kerajaan kepada mereka dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menyantuni OKU.
“Tahniah saya ucapkan. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang hadir pada hari ini,” ujarnya.
Untuk rekod, peranan MTOT adalah untuk membangunkan program dan strategi yang bertujuan untuk mendidik masyarakat bagi meningkatkan kesedaran berhubung dengan OKU.
MTOT juga berperanan menasihati kerajaan mengenai ketidakupayaan termasuk perkembangan di peringkat negeri dan negara.
Di samping, mengumpul data dan maklumat serta menggalakkan penyelidikan bagi pembangunan latihan awal dan berterusan bagi golongan profesional dan kakitangan yang bekerja dalam perkhidmatan habilitasi dan rehabilitasi.
MTOT turut menggalakkan peluang pekerjaan dan peningkatan kerjaya bagi OKU dalam pasaran buruh. – HARAKAHDAILY 7/3/2024











