
HATYAI: Agensi media utama Thailand dan Malaysia perlu mengeratkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara demi kepentingan bersama terutama dalam sektor keselamatan, ekonomi dan pelancongan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalillail bertitah media sewajarnya memainkan peranan memperhebatkan lagi hubungan antara sesebuah kerajaan dengan kerajaan (G2G), business-to-business (B2B) dan people-to-people (P2P) antara Thailand dan Malaysia.
“Pengamal media sepatutnya melaporkan perkara-perkara yang positif, membina dan mampu memperkukuhkan lagi hubungan dua hala.
“Selain itu semaikan rasa hormat antara satu sama lain, saling memahami dan bertolak ansur serta semangat kekitaan, bantu membantu menerusi karya masing-masing,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berucap pada Majlis Hari Media dan Pelancongan Malaysia-Thailand Yannaty Hotel, Hatyai, di sini, malam tadi.
Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, Gabenor Wilayah Pattani, Pateemoh Sadeeyamu, Gabenor Wilayah Narathiwat, Sanan Pongaksorn dan Presiden Kesatuan Wartawan Selatan Thai, Chaiyong Maneerungskul turut hadir.
Baginda juga bertitah kedua-dua pihak perlu mempertingkatkan perkongsian berita dan maklumat secara pantas, sahih dan tepat menerusi media massa, digital atau media sosial.
“Agensi media utama Thailand dan Malaysia perlu bekerjasama serta mengukuhkan lagi hubungan dua hala demi kepentingan bersama,” titah baginda.
Raja Muda Perlis turut berharap media memainkan peranan mempromosi dan melaporkan sebarang aktiviti menarik serta keunikan atau keindahan destinasi pelancongan menarik.
“Tuan-tuan dan puan-puan dipohon menguar-uarkan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025. Promosi pusat-pusat pelancongan, acara-acara yang diadakan, lokasi-lokasi menarik serta juadah istimewa di Perlis.
“Media harus mengangkat pelancongan Perlis sebagai pelancongan mesra Muslim dan tiada jurang besar mengenai bahasa memandangkan ada rakyat Perlis boleh berbahasa Thai.
“Apatah lagi dalam situasi semasa pertukaran mata wang lebih memihak kepada Thai Baht,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 7/3/2024











