
KUALA LUMPUR: Terdapat lebih kurang satu juta pelancong dari negara China yang disifatkan hilang dari radar di mana mereka tidak pulang ke negara masing-masing setelah masuk ke Malaysia.
Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) berkata, bukan sahaja pelancong China, termasuk Arab Saudi, Eropah dan juga Bangladesh turut hilang setelah tidak keluar selepas masuk ke negara ini.
“Sebenarnya berapakah jumlah pelancong-pelancong asing ini yang tidak pulang ke negara mereka yang masih berada di negara kita dan apakah kesannya jika mereka ini tidak diambil tindakan selanjutnya?” soal beliau
Beliau mengemukakan perkara itu ketika mencelah Syahredzan Johan (PH-Bangi) kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, Parlimen di sini sebentar tadi.
Syahredzan dalam soalan asalnya meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan langkah-langkah yang dilakukan dalam memastikan ‘chartered flights’ yang membawa pelancong ke dalam negara akan menyumbang kepada peningkatan bilangan pelancong.
Beliau juga mahu tahu bagaimana seterusnya mereka itu akan membantu dalam meningkatkan ekonomi negara berikutan peningkatan pelancong.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Tiong King Sing berkata, beliau meminta maaf kerana bukan bidang kuasanya.
“Kalau boleh kemukakan kepada KDN, Kementerian Dalam Negeri. Pasal tidak menjaga ini apa itu masuk dan keluar,” jawab beliau. – HARAKAHDAILY 7/2/2024




















