
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberikan ruang kepada penyertaan usahawan Bumiputera menyertai aktiviti dilaksanakan di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), demikian gesa Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu).
Katanya, tidak ada satu pun syarikat Bumiputera yang diberi peluang menyertai aktiviti dibuat PETRONAS di mana menganugerahkan pemasangan sistem solar kepada syarikat dalam Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 berakhir 2 Mac lepas.
“Saya ingin bertanya berhubung dengan pengumuman RM1 bilion dana bagi melahirkan generasi baharu usahawan bumiputera dalam bidang pertumbuhan tinggi oleh GLIC. Adakah peruntukan ini sebagai tambahan kepada pengumuman dalam Belanjawan 2024 sebelum ini,” soal beliau.
Beliau mengemukakan perkara itu ketika mencelah Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) kepada Menteri Ekonomi semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, Parlimen di sini sebentar tadi.
Zahir dalam soalan asalnya meminta Menteri Ekonomi menyatakan hala tuju dan pendekatan baharu yang sedang dirangka oleh Kerajaan hasil daripada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024.
Kongres yang telah diadakan pada 29 Februari hingga 2 Mac 2024 itu bagi melonjakkan lagi tahap sosio ekonomi Bumiputera menerusi pelbagai bidang dan sektor agar terus berdaya saing.
Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berkata, pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri itu merujuk kepada pengumuman baru dan dana tersebut akan digerakkan melalui GLC dan GLIC serta juga mobilisasi kapital swasta yang lebih baik.
“Soalan Kuala Terengganu mengenai penyertaan itulah yang sekarang ini sedang dirangka kerana negara melalui kerangka ekonomi madani mengenal pasti enjin-enjin pertumbuhan baru.
“Termasuklah peralihan tenaga termasuklah digital, pertanian moden. Ini adalah sektor-sektor yang boleh melonjakkan penyertaan ekonomi usahawan negara ke dalam rangkaian nilai antarabangsa.
“Dan ia mempunyai kandungan nilai yang tinggi dan juga kepakaran yang lebih tinggi berbanding dengan yang biasa.
“Sudah tentu apabila kerajaan menetapkan fungsi-fungsi ekonomi yang ini, kita akan bermula dengan jurang terutamanya dari kalangan dari segi penyertaan usahawan dan profesional Bumiputera.
“Dan program-program khusus terutamanya melibatkan penyertaan membiasakan usahawan Bumiputera dengan potensi-potensi yang ada dan untuk menggalakkan usahawan Bumiputera mengambil risiko menyertai sektor-sektor ekonomi yang begini.
“Itu akan diperhalusi dan sudah tentu menjadi tumpuan seperti sebahagian daripada dapatan-dapatan yang telah dibincangkan di KEB 2024,” jelas Rafizi. – HARAKAHDAILY 7/2/2024




















