
Lebih 200 juta pengundi telah mengundi dalam Pilihan Raya Presiden 2024 di Indonesia, negara demokrasi ketiga terbesar di dunia.
Gandingan calon bekas Jeneral Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka ternyata pilihan rakyat Indonesia.
Ternyata juga demokrasi di negara jiran kita itu jauh berbeza berbanding dengan yang diamalkan di Malaysia.
Bagi kita yang mengikuti kempen PILPRES 2024, dapat melihat betapa kebebasan bersuara dan berhimpun membuktikan negara bekas jajahan Belanda itu jauh lebih terbuka dan demokratik jika dibandingkan dengan kita bekas jajahan Inggeris.
Media perdana di Indonesia bebas membuat liputan dan laporan tanpa ada sebarang sekatan atau halangan.
Sementara, media sosial pula subur dengan pelbagai ulasan, kritikan, komentar, parodi tanpa diambil tindakan oleh pihak pemerintah.
Budaya debat secara terbuka yang sihat dan diberi liputan meluas memberi peluang kepada rakyat untuk menilai dengan lebih baik sebelum membuat pemilihan.
Malaysia perlu suburkan budaya seumpama ini agar rakyat menerima maklumat seluas-luasnya dan dapat membuat pemilihan secara bebas.
Jangan ada mana-mana pihak membolot atau menguasai sumber maklumat khasnya milik kerajaan sehingga memaksa dan mempengaruhi rakyat membuat keputusan secara tidak adil.
Semua pihak di Indonesia termasuklah badan-badan NGO, para ahli akademik, para ulama, kumpulan pendesak diberi kebebasan menyokong mana-mana calon tanpa diskriminasi.
Yang penting setelah keputusan dibuat oleh rakyat, semua pihak menerimanya dengan hati yang terbuka dan bersatu demi kepentingan dan masa depan negara.
Tidak ada mana-mana pihak dikena atau diambil tindakan kerana menyokong mana-mana calon, kerana ini pentas demokrasi terbesar, dengan jaminan kebebasan diberi pada semua warganegara.
Kebebasan ini kita lihat turut diberikan pada anggota berseragam termasuklah tentera dan polis.
Sepatutnya semakin berusia dan maju negara, amalan demokrasi menjadi semakin bebas, terbuka, bukannya semakin ketat dan menghalang rakyat dari membuat keputusan secara adil dan bebas.
Bukannya mengancam rakyat dengan tindakan dan penjara sedangkan demokrasi pilihan raya merupakan pentas bebas buat semua.
Dulu di Malaysia kita pernah mendengar tuntutan reformasi pilihan raya ini dibawa sehingga ke jalanan.
Tuntutan pilihan raya yang bersih dan adil bergema, memperjuangkan akses media yang adil buat semua pihak selain memperkenalkan peraturan pembiayaan dana politik.
Malangnya, pihak yang lantang membuat tuntutan itu hari ini memegang kuasa, akan tetapi tidak pula peduli atau beri perhatian untuk menangani isu-isu ini secara serius sehingga kita lihat Indonesia jauh mendahului kita dalam hal ini.
Kita tumpang berbangga melihat kemajuan amalan demokrasi dan pilihan raya di Indonesia, semoga ia mendorong pihak tertentu di sini membuka mata dan tidak sekadar retorik kosong, mencacatkan demokrasi dan menyekat kebebasan rakyat. – HARAKAHDAILY 2/3/2024




















