
SEHINGGA saat ini, meskipun saya juga adalah seorang pejuang alam sekitar, namun saya belum dapat diyakinkan bahawa kereta elektrik (EV) adalah kenderaan yang lebih mesra alam sekitar berbanding kereta berenjin pembakaran bahan api karbon.
Hampir 30 tahun yang lalu, ketika saya ditemuduga oleh Universiti Malaya (UM) untuk memohon pembiayaan sambung belajar ke luar negara, seorang penemuduga yang juga seorang profesor terkenal tentang dunia Barat, menyatakan agenda Pembangunan Mapan (SD) adalah agenda terbaharu Barat untuk mendominasikan ekonomi dunia.
Proposal kajian ijazah lanjutan saya adalah berkaitan dengan agenda SD, iaitu kesinambungan daripada tajuk Latihan Ilmiah saya di peringkat ijazah dasar.
Pada masa itu, belum banyak kajian yang berkaitan tajuk ini disebabkan Sidang Kemuncak Bumi Rio De Janeiro baru tiga tahun berlalu. Hari ini, saya semakin memperakui pandangan profesor tersebut adalah suatu kebenaran.
Agenda Pembangunan Mapan (SD)
Agenda SD atau sekarang turut dikenali sebagai Sasaran Pembangunan Mapan (SDG) adalah bertitik tolak daripada Laporan Brundtland yang dibentangkan kepada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada tahun 1987.
Susulan daripada Laporan Brundtland itu, pada 1992 telah dianjurkan Sidang Kemuncak Bumi Rio atau lebih dikenali sebagai United Nation Conference on Environment and Development (UNCED).
Bermula daripada UNCED inilah, agenda untuk mencapai Pembangunan Mapan atau juga dikenali sebagai Agenda 21 dirangka dan kemudian dilaksanakan satu persatu.
Setiap sepuluh tahun selepas itu, iaitu 2002, 2012 dan seterusnya, akan dianjurkan pula Sidang Kemuncak Bumi seumpamanya untuk menilai hasil pelaksanaan Agenda 21.
Konsep dan model Pembangunan Mapan ini kemudiannya mempengaruhi dasar dan amalan pembangunan ekonomi dunia, paling tidak menjadi alternatif kepada konsep dan model pembangunan Liberalisme dan Sosialisme.
Semenjak UNCED pada 1992 ini, semua pihak mula bercakap tentang kelestarian alam sekitar, daripada ahli politik sehingga masyarakat awam yang turut didedahkan dengan perkara ini.
Termasuk yang bercakap tentang kelestarian alam sekitar ini ialah golongan kapitalis yang sebelum daripada itu, merekalah yang sangat rakus memusnahkan alam sekitar dan memupuskan sumber alam semulajadi.
Malah lebih daripada itu, negara-negara Barat khususnya Amerika Syarikat yang sebelumnya merupakan negara-negara penyumbang kemerosotan alam sekitar global, mereka pula yang berlagak sebagai pelopor untuk menyelamatkan bumi ini.
Amerika Syarikat pelobi SD
Amerika Syarikat antara pelobi utama SD, malah pada awal 1980-an agensi-agensi negara tersebut mengeluarkan dapatan-dapatan kajian tentang Lapisan Ozon dan Pemanasan Global, yang menggetarkan hati seluruh manusia di mayapada ini.
Bagaimanapun, rekod komitmen Amerika Syarikat terhadap resolusi-resolusi alam sekitar global, sering memperlihatkan sifat hipokrasi mereka tentang agenda SD.
Berkaitan dengan EV pula, sememangnya tidak dapat dinafikan kenderaan berenjin pembakaran bahan api karbon adalah antara penyumbang besar kepada pembebasan karbon dioksida dan gas pencemar alam sekitar yang lain (GHG).
Usaha berterusan telah dilakukan supaya teknologi kenderaan ini melepaskan kurang GHG antaranya penggunaan bahan bakar karbon tanpa plumbum dan penggunaan gas asli sebagai alternatif kepada bahan bakar karbon cecair.
Sebenarnya banyak juga penambahbaikan kepada teknologi kenderaan seperti ini, dengan pengertian lain pelepasan GHG oleh kenderaan berenjin bahan api karbon telah banyak berkurangan.
Kemudian, mula diperkenalkan kenderaan berteknologi hibrid yang mengabungkan kedua-dua teknologi, tetapi kewujudannya seperti satu fasa transisi kepada pengunaan kenderaan elektrik sepenuhnya.
Mampukah EV selesaikan masalah alam sekitar?
Persoalannya, adakah EV ini akan menyelesaikan masalah kemerosotan alam sekitar yang ditimbulkan oleh pengunaan kenderaan atau sepertimana yang sering disebutkan ia sekadar mitos?
Saya belum bersedia untuk menjawab persoalan ini sekarang.
Yang saya ingin timbulkan ialah, apakah ada keperluan memberi subsidi secara one-off kepada pembeli-pembeli kereta elektrik (tidak termasuk motosikal elektrik)?
Sebenarnya, isu pemberian subsidi bahan bakar karbon ini adalah antara isu utama yang dibincangkan oleh para kapitalis di dalam forum-forum ekonomi global.
Subsidi bahan bakar karbon ini seperti menjadi ‘sel-sel barah’ kepada ekonomi, sehingga agensi-agensi proksi Liberalisme global seperti Bank Dunia dan IMF menjadikan subsidi ini sebagai ‘musuh utama’ untuk disingkirkan daripada dasar dan amalan pembangunan ekonomi sesebuah negara.
Oleh sebab itu, kempen untuk mengurangkan penggunaan kenderaan berenjin pembakaran bahan api karbon diperkasakan dan pada masa yang sama kempen untuk menarik balik subsidi bahan api karbon diperluaskan. Golongan kapitalis global berharap, suatu masa nanti seluruh kenderaan berenjin pembakaran bahan api karbon akan diganti dengan EV.
Unsur nadir bumi (REE)
Seperti yang disangka, China tidak terlalai daripada melihat unjuran ekonomi yang dirangka oleh pihak kapitalis global.
Dengan kepakaran tinggi yang mereka ada, China telah menguasai teknologi EV ini, malah lebih daripada itu teknologi berasaskan unsur nadir bumi ataupun Rare Earth Element (REE) yang menjadi antara komponen terpenting EV telah didominasikan oleh mereka.
Hari ini, China telah mula mengeluarkan EV secara besar-besaran sehingga syarikat pengeluar telefon bimbit seperti Xiaomi pun sudah mula mengeluarkan EV.
China mulai mengatasi Amerika Syarikat dan negara-negara Liberalisme yang lain dalam industri pengeluar EV, dan dalam tempoh singkat mendatang diyakini pasaran global EV akan didominasi kuat oleh China.
Sekiranya ini benar-benar terjadi, adakah kapitalis-kapitalis global dan negara-negara Liberalisme akan meneruskan agenda mempromosi EV sebagai kenderaan yang disebut penyelamat alam sekitar global?
Tidak juga mustahil pemberian subsidi EV akan dilihat membazir pada ketika itu.
EV dalam konteks Malaysia
Dalam konteks Malaysia, sehingga hari ini, EV masih dianggap sebagai kenderaan mewah kecuali motosikal elektrik yang disasarkan kepada pengguna-pengguna berpendapat rendah.
Kereta elektrik berjenama Tesla, BMW dan seumpamanya masih dilihat sebagai kereta berjenama mewah yang tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan masyarakat awam.
Demikian juga dengan ekosistem sokongan EV ini yang masih belum meluas, kebanyakan EV hanya sesuai untuk digunakan di kawasan-kawasan bandar sekaligus sesuai dimiliki oleh penghuni-penghuni kawasan bandar.
Secara tidak langsung boleh difahami, sekiranya subsidi diberikan kepada pembeli-pembeli kereta elektrik, bermakna subsidi diberikan kepada pembeli kereta mewah dan penduduk urban.
Ringkasnya, subsidi bahan api yang sebelum ini dinikmati oleh masyarakat awam kini beralih kepada subsidi EV yang secara tersasar dinikmati oleh pembeli kereta mewah dan penduduk bandar. – HARAKAHDAILY 1/3/2024

– Penulis ialah Pengerusi Lajnah Alam Sekitar dan Perubahan Iklim PAS.




















