
KOTA BHARU: Pemecatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Dato’ Dr. Ammar Abd Ghapar oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Seri Tiong King Sing atas faktor ‘tidak sebulu’ sepatutnya tidak berlaku.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, Menteri perlu lebih menghormati pegawai terutamanya yang telah lama berkhidmat serta berpengalaman, hal ini kerana, menurut beliau walaupun berjawatan Menteri, tidak semestinya lebih tahu atau lebih pandai berbanding pegawai.
“Menteri walaupun berkuasa tidak boleh bertindak secara rakus dan sombong, amatlah penting bagi seorang menteri menghormati pegawai terutamanya mereka yang lama berkhidmat dan berpengalaman,” tulis Tan Sri Annuar Musa di laman sosialnya, semalam.
Sebelum ini tular di sekeping surat kerajaan bertarikh 22 Februari yang menunjukkan arahan bagi menamatkan perkhidmatan tugas Ketua Pengarah Tourism Malaysia yang berkuat kuasa pada 24 Februari lalu.
Beliau menasihati ahli kabinet dalam kerajaan supaya menghormati pegawai yang sudah lama berkhidmat, 36 tahun menabur bakti dan idea dalam pembangunan industri pelancongan, kesenian dan kebudayaan negara.
“Seorang menteri walaupun berkuasa, perlu bijaksana dalam menjalankan tugasnya, menteri umpama seorang bapa di kementeriannya perlu sentiasa cakna sedia mendengar dan memandu arah dengan kerjasama penuh dari pegawai di kementerian.
Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, pengalaman selama 10 tahun menjadi menteri dalam kerajaan turut mendedahkan rahsia kejayaan seorang menteri yang baik ialah individu yang dapat menawan hati pegawai untuk melaksanakan amanah diberikan.
Beliau juga berkata, ia menjadi motivasi dan pembakar semangat yang paling utama untuk melaksanakan kerja secara berpasukan serta menterjemahkan agenda kerajaan bagi meningkatkan sektor tersebut pada pandangan rakyat.
“Perkhidmatan awam mempunyai barisan pegawai kanan yang berkebolehan dan berpengalaman, janganlah rakus dan sombong dengan mereka meskipun orang politik yang berkuasa, masih memerlukan nasihat dan pandangan dari pengawai awam.
“Saling hormat menghormati antara penjawat awam dan pemimpin politik amatlah penting, usaha sombong kerana kuasa itu sementara sahaja, kita tidak dikenang kerana kuasa kita tetapi dikenang kerana kebijaksanaan dan integriti,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/2/2024




















