
KINABATANGAN: Lebih 30 murid sekolah rendah dari golongan asnaf di sekitar Kinabatangan telah menerima bantuan persekolahan melalui program anjuran bersama Biro Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Negeri Sabah.
Yang di-Pertua PAS Kawasan Kinabatangan, Abdul Aziz Baitul Makmur berkata, PAS Kinabatangan sentiasa cakna dan prihatin terhadap masyarakat Kinabatangan khususnya, golongan asnaf dan fakir miskin.
“Program bantuan persekolahan ini merupakan aktiviti tahunan PAS kawasan Kinabatangan, untuk membantu seramai mungkin golongan asnaf yang kurang berkemampuan dalam menyediakan peralatan sekolah anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Back To School 1.0, di sini, semalam.
Turut hadir ialah Ketua Pemuda PAS Kinabatangan, Jumaidin Lakalla; Timbalan Pengerusi 1 Biro Kebajikan & Keprihatinan Sosial Negeri Sabah, Nur Izzati Yussof; dan beberapa ahli jawatankuasa PAS Kinabatangan.
Sementara menurut Abdul Aziz lagi, pihaknya juga sedang merancang program bantuan persekolahan susulan buat golongan tersebut.
“PAS Kinabatangan menyasarkan lebih 50 orang penerima dalam kalangan murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di sekitar Kinabatangan bagi sumbangan Back To School 2.0 pula,” katanya.– HARAKAHDAILY 18/2/2024




















