
KOTA BHARU: Kerajaan negeri menyuarakan hasrat kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) bagi menyelesaikan masalah air yang menjadi rungutan dan keluhan rakyat di negeri itu sejak sekian lama.
Penyelesaian isu tersebut menjadi agenda paling penting bagi Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud yang dilantik sebagai Menteri Besar selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos tahun lalu.
Beliau berkata, sebagai sebuah kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat, kerjasama antara negeri dan persekutuan perlu diselaraskan untuk menyelesaikan masalah air tanpa mengira fahaman parti politik.
“Hasrat ini telah saya suarakan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim supaya rakyat Kelantan turut mendapat perhatian sewajarnya dari kerajaan persekutuan sekarang bagi mengatasi masalah air di Kelantan.
“Inilah antara fokus utama di awal pentadbiran saya adalah untuk menyelesaikan masalah ini, ini diharapkan dapat mengetuk hati Putrajaya demi kepentingan rakyat,” katanya dalam status di Facebook beliau, pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau juga telah menghadiri mesyuarat Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri bersama Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya ditemani Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Kaya Setia Nazran Muhammad.
Mohd Nassuruddin yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dalam pada itu, berharap kerajaan negeri dan persekutuan dapat mengembalikan semangat federalisma sebenar yang menjadi asas dalam pembentukan negara Malaysia hari ini.
Beliau berkata, penghayatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera menjadi keutamaan bagi membawa hasrat kerajaan negeri supaya diambil perhatian sewajarnya oleh kerajaan persekutuan demi kepentingan rakyat.
Sementara, menerusi laman sosialnya pada Rabu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkongsi beberapa gambar mempengerusikan mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang ke-142 di Pejabat Perdana Putrajaya, hari ini. – HARAKAHDAILY 21/2/2024











