
BATU PAHAT: Program Himpunan dan Ceramah Solidariti Palestin anjuran PAS Negeri Johor yang diadakan malam ini, Jumaat (9 Feb) adalah program kemuncak kepada kempen tersebut selama ini.
Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin berkata, ia bagaimanapun bukan bermaksud kempen itu akan berakhir dengan program kemuncak itu.
“Kita akan terus memanaskan enjin, menyemarakkan daya juang umat Islam seluruhnya. 125 hari peperangan dan masih berterusan sehingga kini.
“Kita tidak akan menghentikan usaha kita membantu memungut sumbangan derma menghantar derma,” katanya dalam program tersebut yang berlangsung di Dewan Haji Abas, KomPAS, di sini.
Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari; Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail; Pengerusi Perikatan Nasional Johor yang juga ADUN Bukit Kepong, Dato’ Dr. Sahruddin Jamal; dan tetamu khas wakil rakyat Palestin, Mohamad Wail Elzad.
Sehubungan itu, Abdullah turut mendoakan agar semua penyumbang-penyumbang derma dikurniakan dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda.
“Doa itu senjata orang Mukmin. Dengan doa tuan-tuan, dengan derma sumbangan umat Islam yang dihantar bersama kita bersama-sama dengan jihad Islam, bersama-sama dengan jihad umat Islam di Palestin,” ujarnya.
“Semoga kehadiran kita semua akan dihitung sebagai amal-amal soleh, amal-amal jihad,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/2/2024




















