
KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani perlu bertindak segera memperkasakan Undang-undang Syariah di negara ini.
Aktivis politik, Shahir Adnan berkata demikian, susulan apabila Mahkamah Persekutuan pada hari ini telah membuat keputusan membenarkan petisyen difailkan peguam Nik Elin Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman untuk mencabar dan membatalkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Antara peruntukan yang dianggap tidak sah ialah mengenai pemusnahan dan mencemarkan tempat ibadat (Seksyen 11), liwat (Seksyen 14), persetubuhan dengan mayat (Seksyen 16), persetubuhan dengan bukan manusia (Seksyen 17), dan gangguan seksual (Seksyen 31).
Kesalahan jenayah syariah lain yang menjadi pertikaian dalam permohonan itu ialah memiliki dokumen palsu dan memberi maklumat palsu (Seksyen 34), mabuk (Seksyen 36), persediaan untuk melakukan maksiat (Seksyen 45), dan penyalahgunaan label halal (Seksyen 42).
Shahir turut berkata, implikasi terhadap keputusan ini bermakna akan ada lagi cabaran undang-undang syariah di negeri lain.
“Sebelum ini, Selangor. Hari ini, Kelantan. Esok lusa siapa tahu?
“Sebagai contoh benar, Seksyen 14 berkaitan liwat bagi enakmen Syariah ada di dalam peruntukan Seksyen 377B Akta 574 Kanun Keseksaan di peringkat persekutuan iaitu melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabie mengikut adalah kesalahan liwat,” tegasnya kepada HarakahDaily.
Tambah beliau, hukuman perlu diselaraskan kerana ia adalah tugas jawatankuasa yang dibentuk oleh Perdana Menteri untuk memperkasakan undang-undang Syariah.
Sehubungan itu, Rang Undang-Undang (RUU) 355 perlu dibentangkan. Ahli-Ahli Dewan Rakyat beragama Islam tidak kira dari pihak kerajaan atau Pembangkang, UMNO, PAS, PKR, Bersatu perlu senada dalam memperkasakan undang-undang Syariah.
“Namun begitu, bagaimana pula Enakmen negeri Seksyen 36 berkaitan mabuk? Di peringkat persekutuan hanya diperuntukkan Seksyen 21 Akta 336 iaitu berkaitan ‘Mabuk dan Berkelakuan Tidak Sopan di Tempat Awam’,” hujahnya.
Beliau mempersoalkan, adakah ini bermakna orang Islam di Kelantan kini boleh minum arak sekiranya tidak mabuk, sedangkan ia bertentangan dengan hukum Islam?
Seksyen 21, ujar beliau, hanya menghukum orang mabuk yang tidak boleh mengawal diri sendiri di tempat awam.
“Sekali lagi, sebagai suara rakyat Malaysia beragama Islam, saya menggesa semua Ahli Parlimen beragama Islam untuk bersatu dalam menegakkan undang-undang syariah di negara kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/2/2024




















