
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan dalam penghakiman bahawa Enakmen Jenayah Syariah Kelantan adalah batal dan tidak sah menunjukkan terlalu banyak kelompongan terhadap usaha mendaulatkan Islam di negara ini.
Malah, keputusan tersebut membuka ruang lebih banyak perkara khasnya berkaitan Islam dicabar dan menunjukkan Perlembagaan berinspirasikan Lord Reid telah meninggalkan bom jangka kepada masa depan Islam di negara ini.
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria yang juga ADUN Gunung Semanggol berkata, kuasa pemerintahan dimiliki selama ini tidak diguna untuk memperkukuhkan Islam sebaliknya membiarkan ruang itu terus lemah.
“Asas Perlembagaan sebenarnya telah memiliki rangka mendaulatkan Islam apabila Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan Islam adalah Agama Persekutuan dan agama lain boleh diamalkan.
“Kerangka asas negara yang diusahakan alim ulama dan pejuang terdahulu ternyata gagal diisi sepanjang tempoh ummat Islam memiliki kuasa dua pertiga Parlimen,” ujarnya yang juga Ketua Pembangkang DUN Perak.
PAS Perak katanya, menyeru semua pihak terutama ummat Islam untuk menyedari betapa satu usaha bersungguh-sungguh dan bersepadu mesti segera dilakukan dan elaras usaha itu beberapa perkara perlu segera dilaksanakan.
“Kami menyeru Menteri Agama dan Menteri Undang-undang mengambil langkah segera melindungi undang-undang berkaitan Islam dari terus dicabar dan kami menyeru parti politik dan NGO Islam menggerakkan kekuatan ummat Islam seluruhnya.
“(Iaitu) menjadi kuasa pendesak kepada kerajaan Malaysia berkaitan kedaulatan Islam yang semakin berani dicabar,” ujarnya turut menyertai Himpunan Selamatkan Syariah di hadapan Istana Kehakiman, di sini hari ini.
Beliau turut menyeru pihak berkuasa agama negeri-negeri melaksanakan agenda bersama agar satu penyelarasan enakmen jenayah Islam diperkukuhkan, serta penyatuan seluruh umat agar kekuatan politik kembali kepada umat Islam demi memelihara kedaulatan agama dan bangsa.
“PAS Perak bersedia berkomunikasi dan bekerjasama dengan semua pihak dalam segala ruang melangkaui sempadan politik, agama dan bangsa di atas kesepakatan menjaga Islam dan bangsa terus berdaulat di negara kita,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/2/2024











