PAS ucap Selamat Tahun Baru Cina

Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada masyarakat Cina di negara ini dengan harapan sambutan Tahun Naga tetap meriah walaupun kesejahteraan hidup umum agak terkesan, terutamanya susulan persekitaran ekonomi dan perniagaan yang lemah.|

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata sambutan Tahun Baru Cina merupakan fenomena budaya dan tradisi yang meraikan nilai unggul seperti kepentingan keluarga, kesejahteraan bersama, kepedulian, kasih sayang dan semangat setia kawan serta permulaan yang baharu.

- Advertisement -

“Keluarga merupakan unsur penting bukan sahaja bagi mengukur kualiti kehidupan semasa rakyat, tetapi juga sebagai gambaran kepada potensi dan hala tujunya pada masa-masa hadapan.

“Keluarga yang gembira, sihat serta terdidik dengan nilai-nilai luhur dan berfaedah akan menyumbang kepada pembentukan masyarakat dan negara yang sejahtera dan berjaya.

“Sementara keluarga yang sebaliknya akan hanya melahirkan masyarakat dan negara yang rosak, berkecamuk dan mengecewakan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, PAS menggesa semua pihak agar memurnikan komitmen kepada keluhuran serta keunggulan nilai dan sikap bagi memastikan keluarga terbentuk secara sihat dan positif.

“(Seterusnya ia dapat) menjamin masyarakat dan negara tercinta ini terselamat dan terpelihara daripada bencana serta kekecewaan yang berpunca daripada keruntuhannya.

“Gong Xi Fa Chai. Long wu jiu tian. Semoga kejayaan dan aspirasi pada tahun ini melonjak hingga mencapai awan,” katanya.  HARAKAHDAILY  9/2/2024

- Advertisement -