
PUTRAJAYA: Undang-undang Jenayah Syariah Islam di semua 13 negeri yang lain kini berada dalam keadaan yang amat-amat bahaya dan kritikal, ekoran diputuskan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan terbatal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan, hari ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga seorang pengamal undang-undang menjelaskan demikian selepas Himpunan Selamatkan Syariah di hadapan Istana Kehakiman, di sini sebentar tadi.
“Keadaan tersebut bererti sekiranya sesiapa dituduh di Mahkamah Syariah di negeri-negeri dalam kes sama dibawa, maka apabila diberitahu di Kelantan dibatalkan, maka kes di negeri lain juga boleh dibatalkan,” katanya.
Beliau menyifatkan perkara tersebut sangat serius di mana perkara berkaitan agama di negeri-negeri adalah di bawah Sultan atau Raja selaku Ketua Agama Islam dan Yang di-Pertuan Agong bagi peringkat Persekutuan.
“Saya difahamkan sudah ada satu jawatankuasa khas (di peringkat Kerajaan Negeri Kelantan) untuk memikirkan kesan daripada keputusan ini. Sudah tentulah undang-undang syariah perlu ada di negeri.
“Bila dibatalkan perlu ambil tindakan yang sewajarnyalah,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu memaklumkan Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) turut akan mengemukakan soalan berkaitan ke Sidang Dewan Rakyat.
Takiyuddin dalam sidang media itu turut membayangkan soalan tersebut akan meminta kerajaan menyatakan langkah-langkah bagi melindungi undang-undang jenayah syariah di negara ini.
“Undang-undang yang diputuskan batal dan tidak sah itu perlu ada misalnya dalam menangani kes bapa ayam di mana ia merupakan kesalahan jenayah syariah,” katanya.
Panel sembilan hakim yang memutuskan kes ini terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Dato’ Mohamad Zabidin Mohd Diah; dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Dato’ Abdul Rahman Sebli.
Barisan panel berkenaan turut dibarisi hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Datuk Nallini Pathmanathan, Dato’ Mary Lim Thiam Suan, Dato’ Harmindar Singh Dhaliwal, Dato’ Nordin Hassan dan Dato’ Abu Bakar Jais. – HARAKAHDAILY 9/2/2024




















